KOTA KINABALU: Melatih lebih ramai anak tempatan dalam bidang perubatan merupakan penyelesaian jangka panjang untuk mengatasi masalah kekurangan doktor di Sabah.
Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, pendekatan itu menjadi pendirian Kabinet negeri susulan keengganan segelintir pegawai perubatan dari luar untuk berkhidmat di Sabah atas faktor peribadi.
Sehubungan itu, sektor pendidikan akan terus diberi keutamaan dalam belanjawan Sabah akan datang meskipun ia berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.
“Kerajaan negeri tetap komited membantu meningkatkan mutu pendidikan di Sabah. Sebanyak RM5 juta diperuntukkan setiap tahun untuk menaja pelajar perubatan yang layak di Universiti Malaysia Sabah (UMS).
“Namun, penajaan ini bukan bersifat automatik. Pelajar perlu membuktikan prestasi asas yang cemerlang untuk memastikan mereka mampu menamatkan pengajian dengan jayanya,” tambahnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mewakili Ketua Menteri pada Majlis Penyerahan Bantuan Kewangan Kerajaan Sabah kepada Sekolah-Sekolah dan Badan-Badan Keagamaan Bukan Islam Negeri Sabah Tahun 2026 di The Pacific Sutera, Sutera Harbour Resort.
Mengulas lanjut, Kerajaan Sabah akan meneliti pemberian insentif khas untuk menarik lebih ramai doktor berkhidmat di Sabah, namun mengakui faktor kekeluargaan dan peluang kerjaya dalam sektor swasta menjadi cabaran utama.
Satu strategi baharu berkaitan penempatan doktor ke Sabah turut dirangka dan dijangka mula dilaksanakan sekitar Februari tahun hadapan.
