Oleh: Nurul Fazliana Norman
KENINGAU: 14 September 2026 – Tiga pelajar jurusan Kosmetologi Kolej Vokasional (KV) Keningau dipilih menerima geran RM6,000 dari My Starfish Foundation pada 17 Mei lalu untuk melaksanakan projek khidmat komuniti Beyond Beauty.
Geran menerusi Project for Happiness 2.0 itu akan digunakan untuk menyediakan khidmat dandan diri kepada warga emas di Holy Family Residence for Senior Citizens, Papar.
Pasukan yang dianggotai Catrisya Cymantha Cyril, Aivrillona Alix dan Welnieliah Jurin itu merupakan satu-satunya wakil dari Sabah dan satu-satunya pasukan kolej vokasional yang berjaya dipilih sebagai penerima geran berkenaan.
Pemilihan dibuat menerusi proses penghantaran dokumen, kertas cadangan dan pembentangan projek kepada panel juri.
Menerusi Beyond Beauty, para pelajar akan menyediakan rawatan kuku kaki, kuku tangan dan urutan badan kepada warga emas, selain mengadakan aktiviti sosial seperti karaoke, menari dan sesi bergambar.
Pengarah KV Keningau, Lumang anak Lang, berkata usaha para pelajar itu membuktikan kemahiran yang dipelajari di kolej vokasional boleh dimanfaatkan untuk membantu masyarakat.
“Ini menunjukkan bagaimana pendidikan kolej vokasional mampu memperkasa golongan belia agar menggunakan kemahiran mereka untuk berbuat baik kepada komuniti.”
Projek Beyond Beauty sebelum ini pernah dilaksanakan pada 2025 menerusi geran Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (BPLTV), Kementerian Pendidikan Malaysia.
Project for Happiness 2.0 merupakan inisiatif pemberian geran My Starfish Foundation yang menawarkan pembiayaan sehingga RM10,000 kepada pelajar institusi pendidikan di Malaysia untuk melaksanakan projek komuniti.
My Starfish Foundation pula merupakan persatuan kebajikan yang menyediakan dana kepada rakyat Malaysia untuk melaksanakan projek khidmat komuniti.

