Oleh: Nurul Fazliana Norman
KOTA MARUDU: 7 Oktober 2026 – Seorang suami dijatuhi hukuman penjara lapan tahun oleh Mahkamah Sesyen Kota Marudu selepas didapati bersalah mencederakan isterinya dalam kejadian di Kampung Mangkupa, Jalan Popok, Kota Marudu, pada 25 Jun lalu.
Tertuduh, Kanasius Natun, 50, didapati bersalah atas kesalahan mencederakan isterinya, Jorurus Masanting, pada pagi 25 Jun 2026 di hadapan sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Mangkupa, Jalan Popok, Kota Marudu.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun terhadap tertuduh pada 5 Oktober 2026, dan hukuman itu bermula dari tarikh sabitan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fadzri Azham Zainudin, manakala Hakim Puan Ferhanshah Farene Mohd Ferdaus menjatuhkan hukuman berkenaan.
Kesalahan itu mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Spt. Simiun Lomudin berkata, tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan untuk memastikan kesalahan jenayah dapat dibendung manakala keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.
Beliau turut menyeru orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah kepada pihak polis.
Sumber: Polis Daerah Kota Marudu

