Oleh: Zaidul Khair bin Jungkim
TAWAU: Dua lelaki tempatan berusia 20 dan 50 tahun ditahan dalam dua serbuan berasingan menerusi Op Tapis di Tawau.
Operasi Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) IPD Tawau itu dijalankan di kawasan parkir Pasar Ikan Tawau kira-kira jam 4 petang, diikuti Taman Da Hua 4, Jalan Bunga Raya pada jam 5 petang.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Rosdi bin Mat Jusoh berkata, polis menemukan dua paket disyaki mengandungi syabu seberat 1.16 gram pada suspek pertama, manakala suspek kedua menyerahkan satu paket seberat 0.13 gram.
“Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas ialah 1.29 gram dengan anggaran nilai RM140,” katanya.
Beliau berkata, ujian saringan awal air kencing pada kedua-dua suspek menunjukkan keputusan positif amphetamine dan methamphetamine.
Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) dibaca bersama Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sumber: Polis Daerah Tawau
