Oleh: Nurul Fazliana Norman
PAPAR: 24 September 2026 – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) melabuhkan 90 unit modul Ladang Ikan Di Laut (LIDL) di perairan Papar Selasa lalu, menerusi peruntukan RM1.5 juta dari PETRONAS untuk membantu mengurangkan impak operasi Sabah Oil & Gas Terminal (SOGT) terhadap zon penangkapan ikan dan meningkatkan pendapatan kira-kira 500 nelayan tempatan.
Kewujudan LIDL itu dijangka meningkatkan hasil pendaratan dan pendapatan harian nelayan setempat antara 20 hingga 30 peratus, bertujuan untuk membantu menjimatkan kos dan masa operasi di laut.
Modul berkenaan turut berfungsi sebagai habitat, zon perlindungan dan kawasan pembiakan baharu untuk pelbagai spesies hidupan laut.
Sebanyak 90 modul konkrit itu dilabuhkan di tiga kawasan perairan strategik iaitu Kuala Papar, Beringgis dan Pengalat, dengan 30 unit ditempatkan di setiap lokasi.
Komposisi modul terdiri daripada 18 unit modul kosong, enam unit modul sotong dan enam unit modul udang kara.

Program di bawah Program Restorasi SOGT itu disempurnakan Pengerusi LKIM, Tuan Haji Muhammad Faiz Fadzil, di perairan Pengalat, Papar.
Selain aktiviti perikanan, lokasi LIDL itu berpotensi dikembangkan sebagai zon rekreasi perikanan menerusi perkhidmatan membawa pemancing luar untuk menjana pendapatan sampingan komuniti.
LKIM komited memastikan keberkesanan program itu menerusi pemantauan teknikal secara berkala terhadap perkembangan habitat dan biodiversiti marin di perairan Papar untuk menjamin kelestarian sumber laut negara.
Turut hadir, Pengarah Bahagian Industri Asas Tani LKIM, Faizal Puasa; Pengarah Bahagian Kejuruteraan LKIM, Zainuddin Mohamad; dan Pengarah LKIM Negeri Sabah, Mohd Jamil @ Jomiun Abdullah.

