Jack Arrey bawa budaya Sabah ke puncak Khusargang

22a2eae6 e9fd 4469 acf3 0296fd0bb588

Oleh: Nurul Fazliana Norman

KOTA KINABALU: 12 September 2026 – Pendaki Sabah, Jack Arrey berjaya menjejakkan kaki ke puncak Khusargang, Pakistan, dalam ekspedisi selama tujuh hari, sekali gus merealisasikan hasratnya membawa budaya Sabah ke pentas antarabangsa.

Jack yang juga Randawi Tavantang Kaamatan (RTK) dan pemenang tempat ketiga, 2024 mewakili Labuan, berkata ekspedisi itu merupakan sebahagian daripada perjalanan selama 18 hari yang melibatkan lapan pendaki dari Malaysia, termasuk dua pendaki dari Sabah.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi, kumpulan berkenaan dimaklumkan komuniti tempatan bahawa mereka merupakan pendaki Malaysia pertama yang sampai ke kawasan berkenaan.

“Bila kami sampai sana, komuniti yang mengatur di situ beritahu kami bahawa kamu adalah Malaysian pertama yang datang di sini. Jadi kami memang excited,” katanya ketika ditemui di Studio TV Sabah, semalam.

Daripada lapan pendaki, hanya tiga berjaya sampai ke puncak termasuk Jack dan seorang pendaki dari Melaka, manakala seorang lagi pendaki Sabah terpaksa menghentikan pendakian selepas berdepan masalah peralatan kasut yang tidak sesuai untuk permukaan ais.

Jack berkata, antara cabaran utama sepanjang pendakian ialah perubahan cuaca yang pantas, kekurangan oksigen dan kemudahan yang terhad.

“Pada masa itu saya rasa macam mahu give up, tetapi saya cuba pertahankan. Saya tidak mahu putus asa langsung sebab dalam hidup saya, saya tidak pernah putus asa,” katanya.

6daf8510 ef7d 42f8 bc9f 7f89f6bc381e

Lebih menarik, kejayaan itu turut menjadi medan Jack merealisasikan manifestonya ketika menyertai RTK, iaitu mempromosikan budaya Sabah menerusi pelancongan.

Beliau membawa pakaian tradisional Sabah yang dipinjamkan oleh kenalannya, Adrian, untuk dipakai ketika berada di puncak Khusargang, sekali gus memperkenalkan identiti budaya Sabah kepada masyarakat luar.

“Kalau tiada cara lain, kita buat cara ini. Kita buat cara berpakaian di puncak gunung Khusargang untuk mempromosikan,” katanya.

Untuk pendaki baharu, Jack menasihatkan supaya membina pengalaman secara berperingkat dengan bermula dari pendakian yang lebih rendah sebelum mencabar gunung pada altitud lebih tinggi.

“Pastikan kamu kena bermula dari bawah. Tidak ada shortcut untuk sampai ke atas,” katanya.

Selepas kejayaan menawan Khusargang, Jack kini merancang menyertai pendakian Gunung Fuji, Jepun pada Ogos tahun depan bersama kira-kira 30 peserta yang akan mengenakan pakaian tradisional.

Jack turut merancang mencipta satu rekod Malaysia, namun setakat ini memilih untuk merahsiakan butiran mengenainya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal