RANAU: 10 Ogos 2026 – Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam menggesa pemimpin masyarakat dan Ketua-ketua Adat supaya lebih proaktif membantu penduduk yang belum memiliki dokumen pengenalan sah.
Menurut beliau, golongan ini paling hampir dengan komuniti dan memahami latar belakang keluarga setempat.
“Jika kamu benar-benar mengenali penduduk berkenaan, bantulah mereka dalam urusan mendapatkan dokumen sah. Namun, jika tidak dikenali, nyatakan dengan jujur, jangan sesekali mengesahkan perkara yang kita sendiri tidak pasti,” katanya pada Program Mahkamah Bergerak Daerah Ranau di SK Tibabar, Jumaat lalu.
Dr Joachim menegaskan Ketua-ketua Adat perlu menyalurkan maklumat tepat kepada pihak berkuasa, terutama kes yang memerlukan pengesahan latar belakang.
Antara punca isu dokumentasi ialah pendaftaran kelahiran lewat, perkahwinan campur, ketiadaan dokumen perkahwinan dan kelewatan membuat kad pengenalan.
“Jangan biarkan masalah ini berlarutan sehingga diwarisi anak-anak dan generasi seterusnya,” ujarnya.
Ketiadaan dokumen sah boleh menjejaskan peluang pendidikan, pekerjaan dan akses bantuan kerajaan.
Program Mahkamah Bergerak itu diadakan untuk memudahkan urusan dokumentasi di kawasan pedalaman.
Sumber: JAPEN

