Gambar ilustrasi
Oleh: Nurul Fazliana Norman
PUTRAJAYA: 5 Ogos 2026 – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) membuka permohonan Program Dermasiswa B40 (DB40) Tahun 2026 kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 dari keluarga B40 yang berkelayakan bermula 3 Ogos hingga 16 Ogos ini melalui Portal Penajaan JPA.
Program itu merupakan inisiatif kerajaan untuk memperluas akses pendidikan tinggi kepada pelajar berpendapatan rendah melalui tajaan berbentuk dermasiswa untuk membolehkan mereka melanjutkan pengajian ke peringkat diploma di institusi pengajian tinggi (IPT) dalam negara.
Menerusi program berkenaan, pelajar berpeluang mengikuti pengajian diploma di Universiti Awam (UA), Politeknik, TVET MARA dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) terpilih dalam bidang strategik yang menyokong pembangunan modal insan negara.
Antara bidang pengajian yang layak dipohon ialah Kejuruteraan dan Teknologi, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Sains Sosial dan Sastera, Sains, dan Seni Bina.
Menurut JPA dalam kenyataan media hari ini, program itu merupakan inisiatif kerajaan untuk memperluas akses pendidikan tinggi kepada pelajar dari keluarga berpendapatan rendah melalui tajaan berbentuk dermasiswa.
Untuk melayakkan diri, pemohon mestilah warganegara Malaysia, menduduki peperiksaan SPM 2025 kali pertama, berumur di bawah 19 tahun atau di bawah 20 tahun untuk pelajar peralihan pada 31 Disember tahun peperiksaan diduduki, bebas dari penyakit kronik atau berjangkit yang boleh menjejaskan pengajian, dan mempunyai pendapatan per kapita keluarga kategori B40 iaitu RM5,249 sebulan dan ke bawah.
JPA turut mengingatkan ibu bapa dan pemohon supaya tidak disenarai hitam atau sedang dalam tindakan undang-undang JPA, manakala semakan status senarai hitam boleh dibuat melalui sistem eSILA sehingga 12 Ogos 2026.
Sebarang pertanyaan sepanjang tempoh permohonan boleh dikemukakan melalui talian 03-8000 8000 atau e-mel dermasiswa2026@jpa.gov.my pada waktu operasi hari bekerja.
Sumber: Jabatan Perkhidmatan Awam

