Oleh: Zaidul Khair bin Jungkim
KOTA KINABALU: 5 Ogos 2026 – Orang ramai di Sabah kini boleh memohon Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) versi baharu dengan tempoh sah laku sehingga 10 tahun di semua pejabat Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Pejabat UTC di seluruh negeri selepas pelaksanaannya diperluaskan mulai 1 Ogos lalu.
Kemudahan itu menawarkan dua pilihan tempoh sah laku, iaitu lima atau 10 tahun, sekali gus memberi lebih fleksibiliti kepada pemohon mengikut keperluan masing-masing.

Pelaksanaan perkhidmatan berkenaan diraikan menerusi penyerahan simbolik Pasport Malaysia Antarabangsa versi baharu oleh Ketua Bahagian Keselamatan dan Pasport, KTPP Azizah S. Ahmad kepada Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof, disaksikan Timbalan Pengarah Pengurusan, Mat Reo Oredi.
Orang ramai yang ingin mendapatkan pasport versi baharu boleh hadir ke mana-mana pejabat Imigresen atau Pejabat UTC berhampiran dengan mematuhi syarat serta prosedur permohonan yang ditetapkan.

Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah akan terus memperkukuh penyampaian perkhidmatan yang cekap, efisien dan mesra pelanggan selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI.
Sumber: JIM Negeri Sabah

