Oleh: Nurul Fazliana Norman
KOTA KINABALU: 28 Julai 2026 – Seramai 2,052 graduan dari institusi Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) Zon Sabah diraikan dalam istiadat konvokesyen berpusat yang pertama di negeri ini. Acara selama empat hari itu bermula 21 hingga 24 September depan.
Konvokesyen itu melibatkan 12 institusi di seluruh Sabah – tiga politeknik dan sembilan kolej komuniti.
Timbalan Ketua Pengarah (Governan) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Ts. Abdul Razak Sabtu, berkata penganjuran bersama ini bertujuan menghargai kejayaan graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di negeri ini. Sebanyak empat sidang akan diadakan sepanjang tempoh itu.
Beliau berkata demikian selepas kunjungan hormat ke Istana Seri Kinabalu untuk menyampaikan jemputan rasmi kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman. Tun Musa dijadual menyempurnakan sidang pertama pada 21 September.

Menurut Abdul Razak, penganjuran mengikut zon merupakan pendekatan baharu JPPKK untuk menyelaras istiadat konvokesyen di seluruh negara. Sabah adalah salah satu daripada tujuh zon yang melaksanakan kaedah ini.
Secara keseluruhan, pelaksanaan itu akan melibatkan 36 politeknik dan 106 kolej komuniti dengan keahlian lebih 20,000 graduan. Kini, jumlah pengambilan pelajar POLYCC di seluruh negara melebihi 100,000 orang. Pihaknya dijangka melahirkan graduan ke-sejuta sejak penubuhan institusi pertama, Politeknik Ungku Omar, pada 1969.
Usaha memperkukuh pendidikan TVET di Sabah diteruskan dengan penubuhan Politeknik Kota Belud dan Kolej Komuniti Kinabatangan. Kelulusan pembinaan telah diperoleh dan proses pengambilan tanah kini sedang dijalankan sebelum kerja-kerja pembinaan bermula.
Turut hadir dalam kunjungan hormat itu ialah Pengarah Politeknik Kota Kinabalu, Md Nor Abdul Halim; Pengarah Kolej Komuniti Tawau, Ts. Md Syadiqin Awg Adi @ Jumaat; Pengarah Politeknik Sandakan, Mohd Sahran @ Awang Mohidin; Pengarah Kolej Komuniti Beaufort, Ts. Julkifli Ag. Besar; dan Timbalan Pengarah Sokongan Akademik, Ustaz Muhammadin Mohd Jair.

