KENINGAU: 4 Jun 2026 – Tahun 2026 menjadi detik bersejarah untuk dunia pendidikan Malaysia apabila guru Pendidikan Khas dari SK Bingkor, Dr. Velerie Wheelervon Primus, menerima tiga pengiktirafan berprestij di peringkat dunia dan negara hasil dedikasi beliau dalam memperjuangkan pendidikan inklusif dan pembangunan potensi murid neurodivergen.
Pengiktirafan pertama diterima pada Februari 2026 ketika Dr. Velerie diumumkan sebagai Top 50 Finalist bagi Global Teacher Prize dalam satu majlis yang berlangsung di GEMS Education, Dubai, Emiriah Arab Bersatu, sekali gus meletakkan beliau dalam kalangan 50 pendidik terbaik dunia dan mengangkat nama Malaysia di pentas pendidikan antarabangsa.

Pada Mei 2026, sumbangan beliau terhadap pembangunan pendidikan khas negara terus mendapat pengiktirafan setelah menerima Anugerah Khas Menteri Pendidikan Malaysia iaitu penghormatan tertinggi yang mengiktiraf komitmen, inovasi dan impak dalam memperkasa pendidikan untuk murid berkeperluan pendidikan khas di Malaysia.
Kecemerlangan itu diteruskan pada Jun 2026 dengan Dr. Velerie dinobatkan sebagai Pemenang Rantau Asia Tenggara dan Pasifik untuk Cambridge Dedicated Teacher Awards dalam majlis penyampaian yang berlangsung di Kota Kinabalu, sebagai pengiktirafan terhadap dedikasi luar biasa dalam membentuk masa depan pendidikan dan memberi impak kepada komuniti mereka.
Bagi Dr. Velerie, setiap pengiktirafan bukan sekadar kejayaan peribadi, tetapi lambang kepercayaan dunia terhadap kualiti, dedikasi dan profesionalisme guru-guru Malaysia.
“Pengiktirafan ini bukan milik saya seorang. Ia adalah milik semua guru yang setiap hari hadir ke bilik darjah dengan harapan untuk mengubah kehidupan seorang anak. Saya percaya, pada saat seorang guru memilih untuk mengajar dengan ilmu dan kasih sayang, impaknya mampu melangkaui sempadan negara,”katanya.
Menurutnya, ketiga-tiga pengiktirafan tersebut membuktikan bahawa usaha yang lahir dari bilik darjah, mampu mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa apabila disokong oleh inovasi, penyelidikan dan komitmen yang berterusan.
Dr. Velerie berharap pencapaian ini akan menjadi inspirasi kepada lebih ramai pendidik untuk terus berinovasi, berkongsi amalan terbaik dan memperkukuh pendidikan Malaysia agar terus dihormati di persada dunia.
Ketiga-tiga pengiktirafan yang diterima sepanjang tahun 2026 bukan sahaja mencerminkan kecemerlangan seorang pendidik, malah turut mengangkat martabat profesion keguruan dan memperkukuhkan kredibiliti guru Malaysia sebagai pemacu perubahan dalam landskap pendidikan global.

