KOTA KINABALU: 25 Jun 2026 – Cadangan kuota subsidi diesel 200 liter sebulan di bawah Program BUDI MADANI tidak praktikal untuk penduduk luar bandar Sabah yang bergantung kepada kenderaan diesel untuk urusan harian dan aktiviti ekonomi, kata Pengerusi Persatuan Pelancongan dan Kebudayaan Keningau, Encik Rafie Robert.
Menurut Rafie, pelaksanaan program itu perlu mengambil kira geografi Sabah yang berbeza dengan Semenanjung, termasuk jarak perjalanan jauh dan cabaran infrastruktur di kawasan pedalaman.
“Bagi penduduk di Keningau, Nabawan, Sook, Tenom dan daerah pedalaman lain, perjalanan beratus kilometer setiap minggu untuk bekerja, rawatan kesihatan, pendidikan dan urusan perniagaan adalah perkara biasa. Dalam keadaan ini, kuota 200 liter sebulan tidak mencukupi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menjelaskan, majoriti penduduk menggunakan kenderaan pacuan empat roda dan pikap yang sesuai dengan jalan luar bandar dan kawasan berbukit, menyebabkan penggunaan diesel lebih tinggi berbanding di bandar.
Rafie turut menekankan kesan kepada sektor pelancongan luar bandar serta petani dan usahawan yang bergantung kepada diesel untuk mengangkut hasil pertanian ke pusat pemasaran.
“Sebarang peningkatan kos diesel memberi kesan langsung kepada kos operasi, harga barang dan kos sara hidup, terutama di pedalaman yang sedia berdepan kos pengangkutan lebih tinggi,” katanya.
Beliau menyokong usaha membanteras ketirisan subsidi namun menegaskan pelaksanaannya perlu mengambil kira keunikan Sabah.
“Sabah adalah negeri pengeluar minyak dan gas yang menyumbang kepada ekonomi negara. Wajar kerajaan memberikan pertimbangan khas agar rakyat tidak terjejas oleh dasar yang tidak mengambil kira realiti setempat.”
Rafie menggesa Kerajaan Persekutuan meneliti semula had kuota 200 liter dan mempertimbangkan kuota tambahan khas untuk Sabah, khususnya bagi penduduk luar bandar, pengguna jarak jauh, pengusaha pelancongan, petani dan sektor pertanian.
“Kita menyokong matlamat kerajaan mengurangkan ketirisan subsidi, namun dasar diperkenalkan mestilah adil, praktikal dan selaras dengan keperluan sebenar rakyat Sabah,” katanya.

