Sabah Tuan Rumah Sidang Kemuncak Pelaburan Impak Asia-Pasifik 2026

SABAHAIMS Speakers

KOTA KINABALU: 27 Mei 2026 – Sabah bakal menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Pelaburan Impak Asia-Pasifik untuk Pembangunan Mampan 2026 (Sabah AIMS 2026) pada 13 hingga 14 Julai depan.

Persidangan ini dijangka menghimpunkan pelabur, pembuat dasar, ahli akademik, badan pemuliharaan dan pemain industri dari seluruh rantau Asia-Pasifik.

Sidang kemuncak anjuran bersama Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS) dan George Town Institute of Open and Advanced Studies (GIOAS) di Wawasan Open University itu mengangkat tema “Turn, Learn, Earn” – diilhamkan oleh daya tahan ekosistem paku pakis purba Sabah.

Program ini turut disokong oleh Community Empowerment Initiative Sabah (rakan penganjur tempatan), WWF-Malaysia dan The Habitat Foundation (rakan pengetahuan).

Menurut KePKAS, Sabah memiliki kedudukan unik sebagai living laboratory pembangunan mampan berikutan kekayaan biodiversiti, hutan hujan tropika, ekosistem marin dan Gunung Kinabalu yang terkenal di peringkat antarabangsa. Sidang kemuncak itu akan memberi tumpuan kepada pelaburan impak dan kaedah pembiayaan inovatif seperti bon mampan dan sukuk, struktur kewangan campuran, pembiayaan modal teroka dan model perkongsian risiko.

Setiausaha Tetap KePKAS, Josie Lai, berkata sidang kemuncak ini mencerminkan aspirasi negeri untuk muncul sebagai pusat idea, kerjasama dan pelaburan mampan di rantau ini.

“Platform ini penting bagi menghimpunkan pelabur, pembuat dasar, ahli akademik, badan pemuliharaan dan pemimpin komuniti untuk meneroka bagaimana kewangan mampan dan pelaburan impak mampu memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat dan alam sekitar,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi GIOAS, Tan Sri Andrew Sheng, menekankan kelebihan strategik Sabah yang terletak di tengah-tengah Asia Timur dan Asia Tenggara.

“Kedudukan itu menjadikan Sabah sesuai menerajui pendekatan pelaburan impak yang mampu menjana peluang pekerjaan dan sumber pendapatan baharu sambil memelihara warisan budaya serta biodiversiti negeri,” ujarnya.

Sidang kemuncak tersebut dijadualkan dirasmikan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor. Ucaptama akan disampaikan oleh Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Dato’ Mohammad Faiz Azmi, serta tokoh reformasi sosial India, Dr. R. Balasubramaniam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal