KV Keningau juara National KV Seven Series di Negeri Sembilan
KENINGAU: 18 Mei 2026 – Kolej Vokasional (KV) Keningau muncul juara National KV Seven Series 2026 kategori Divisyen 1 yang berlangsung di padang Institut Kejuruteraan Tentera Darat (IJED), Port Dickson, Negeri Sembilan, dari 15 hingga 17 Mei lalu.
Kejohanan tahunan anjuran KV Port Dickson itu menghimpunkan 16 pasukan kolej vokasional dari seluruh negara yang bersaing dalam kategori Premier dan Divisyen 1.
KV Keningau mengekalkan rentak cemerlang sepanjang kejohanan apabila menewaskan KV Gerik 14-0, KV Seri Iskandar 10-0 dan KV DSAZI 17-0 di peringkat kumpulan.
Pasukan itu kemudian menundukkan KV Juasseh 12-0 di suku akhir sebelum menewaskan KV Arau B 24-5 di separuh akhir.
Pada aksi final, KV Keningau menampilkan permainan dominan untuk menewaskan KV Taiping 17-0 sekali gus merangkul gelaran juara Divisyen 1.
Sebagai juara, pasukan itu menerima piala kejohanan, pingat dan sijil.
Pasukan KV Keningau dibarisi Enrique Oliver Lee, Zynn Alix, Mcalfa Romeo Jupani, Bryan Jaimis, Dion Declan John, Jayden Christian Jamil, Muhammad Fairul Haziq Mohd Fairul Izwan, Celvenger Enrico Jenerius, Eivan Payton John, Ivan Russell Jimmy dan Nevillee Misak.
Pasukan itu dilatih pemain dan jurulatih kelab ragbi Titanium Keningau, sebuah kelab pembangunan ragbi yang diasaskan guru KV Keningau di bawah naungan alumni kolej berkenaan.
Mereka turut diiringi dua guru kolej itu, Mohamad Alief Farhan dan Sadzul Adun @ Hamzasin.
Pengarah KV Keningau, Lumang Anak Lang berkata, beliau berbangga dengan pencapaian pasukan pelajar berkenaan yang berjaya mengekalkan kejuaraan di peringkat kebangsaan.
“Pihak kolej sentiasa memberi dorongan kepada pelajar dan guru untuk aktif dalam sukan kerana ia membantu meningkatkan disiplin, pengurusan masa, komitmen dalam pembelajaran dan nilai kekitaan,” katanya.
