LABUAN: 14 Mei 2026 – Selepas beberapa tahun melalui jatuh bangun pertandingan, Sera Vian Japrin akhirnya berjaya merealisasikan impiannya melangkah ke pentas Unduk Ngadau KDCA, selepas dinobatkan sebagai juara UNK Labuan pada 10 Mei lalu.
Anak kelahiran Kampung Nuntunan, Apin-Apin, Keningau itu mengakui perjalanan menuju ke tahap tersebut bukan mudah, lebih-lebih lagi terpaksa berdepan kegagalan sebelumnya.
Sera, 25 tahun, kini bekerja sebagai jurutera di sebuah syarikat swasta berkata, minat untuk menyertai Unduk Ngadau sudah lama tersemat dalam dirinya kerana pertandingan itu sangat dekat dengan identiti budaya dan keluarganya.
“Saya memang sudah lama memasang impian untuk berdiri di pentas Unduk Ngadau KDCA. Bagi saya, ini bukan sekadar pertandingan, tetapi satu penghormatan untuk membawa nama keluarga, daerah dan budaya sendiri,” katanya.
Sebelum berjaya ke peringkat negeri tahun ini, Sera pernah dua kali menyertai pertandingan Unduk Ngadau di peringkat daerah, namun hanya meraih Naib Johan.
Walaupun kecewa, pengalaman tersebut tidak mematahkan semangatnya untuk terus mencuba. “Kadang-kadang memang rasa kecewa sebab sudah dekat sangat dengan kemenangan. Tapi saya percaya setiap perjalanan ada waktunya sendiri,” ujarnya.
Menurutnya, cabaran terbesar sepanjang persiapan pertandingan ialah mengimbangi tuntutan kerjaya dengan jadual latihan yang padat.
Beliau turut menjalani latihan bersama pengurusnya yang juga abangnya sendiri, Joe Japrin, individu yang cukup dikenali dalam industri kreatif, fesyen dan dunia pageant di Sabah.

Sera berkata, persiapan sebenarnya sudah bermula sejak beberapa tahun lalu, ketika aktif menyertai pelbagai pertandingan di Dewan KDCA untuk membina keyakinan diri dan memahami suasana pertandingan sebenar.
“Setiap pertandingan mempunyai juri dan penilaian yang berbeza. Sebab itu kemenangan memang sukar dijangka. Apa yang penting ialah sentiasa memberikan yang terbaik,” katanya lagi.
Menjelang pertandingan peringkat negeri, Sera bersama pasukannya giat melakukan persiapan akhir termasuk latihan pentas, penampilan dan strategi persembahan demi memastikan beliau mampu tampil lebih menyerlah di pentas Unduk Ngadau KDCA nanti.
Menariknya, Sera memilih untuk mewakili Labuan kerana tempat itu mempunyai nilai sentimental tersendiri dalam hidupnya. Beliau pernah melanjutkan pengajian di Matrikulasi Labuan selama setahun.
Untuk busana negeri, beliau memilih busana Pinolongon Sinombiaka yang disifatkannya sebagai elegan dan mempunyai nilai nostalgia yang dekat dengan dirinya.
Di sebalik pencapaiannya hari ini, Sera turut menerima sokongan padu dari keluarga, penduduk Kampung Nuntunan, warga Keningau, rakan-rakan dari Universiti Malaysia Sabah, dan para penyokong di media sosial yang sentiasa mengikuti perjalanan beliau dalam dunia Unduk Ngadau sejak beberapa tahun lalu.
