TAWAU: 6 Mei 2026 – Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun ditahan polis selepas menghantar mesej dan gambar lucah kepada seorang pelajar perempuan menerusi aplikasi TikTok hari ini.
Suspek ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, sekitar jam 1.10 tengah hari tadi di kawasan tepi Jalan Melati Off Jalan Kuhara.
Ketua Polis Daerah Tawau, Jasmin Hussin berkata, kejadian dilaporkan berlaku pada 29 April lalu sekitar jam 7 malam ketika mangsa berusia 13 tahun berada di sebuah restoran makanan segera di Jalan Apas.
Menurut beliau, mangsa menerima mesej pertama berunsur lucah dari suspek melalui akaun TikTok, kemudian disusuli gambar kemaluannya.
Perbuatan itu dipercayai menyebabkan mangsa berasa takut dan terancam sebelum tampil membuat laporan polis.
Susulan laporan itu, setelah polis menjalankan siasatan, suspek akhirnya berjaya ditahan dan sebuah telefon bimbit yang dipercayai digunakan dalam kejadian turut dirampas.
Hasil semakan awal mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
Kes disiasat mengikut Seksyen 15(e) Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Polis mengingatkan ibu bapa supaya lebih peka dan memantau aktiviti media sosial anak-anak untuk mengelakkan mereka terdedah kepada jenayah seksual siber yang semakin membimbangkan.
