PENAMPANG: 6 Mei 2026 – Seramai 53 peserta mewakili daerah, daerah kecil dan cawangan KDCA bakal berentap dalam pertandingan Unduk Ngadau Kaamatan 2026, menjadikan edisi kali ini antara yang paling dinantikan sempena sambutan Pesta Kaamatan tahun ini.
Pengerusi Unduk Ngadau Kaamatan 2026, Mary Gambidau berkata, penyertaan tahun ini turut melibatkan Daerah Kecil Sukau yang akan bertanding di bawah daerah Kinabatangan pada 10 Mei depan.
Menurutnya, beberapa cawangan KDCA turut berminat menghantar wakil ke peringkat negeri, namun setiap penyertaan perlu mematuhi syarat dan melalui proses saringan yang ditetapkan penganjur.
Mengulas kriteria pemilihan, Mary menegaskan pertandingan ini tidak hanya menilai kecantikan luaran, malah penekanan turut diberikan kepada pengetahuan budaya, penguasaan bahasa ibunda, pengetahuan am, dan keyakinan diri ketika berhadapan dengan khalayak.
Katanya, penguasaan bahasa ibunda menjadi cabaran utama untuk sebahagian peserta, khususnya generasi muda yang baru mula mendalami bahasa etnik masing-masing.
“Sebagai peserta yang baru belajar, sesi soal jawab memang mencabar kerana mereka bukan sekadar perlu menjawab, tetapi memastikan setiap jawapan mempunyai isi dan konteks yang tepat,” katanya.
Jelasnya, walaupun ada peserta yang mengambil pendekatan menghafal, usaha tersebut tetap dilihat positif kerana secara tidak langsung mendorong mereka mendalami budaya sendiri.
“Itulah sebenarnya tujuan Unduk Ngadau. Kita mahu generasi muda belajar budaya dan bahasa ibunda mereka. Dari situ, mereka berusaha mencari pelbagai cara untuk menguasainya, termasuk menghadiri kelas atau mendapatkan bimbingan keluarga,” jelasnya.
Mary menekankan kepentingan perkembangan tersebut untuk memastikan warisan bahasa dan budaya etnik di Sabah terus terpelihara dan diwarisi generasi akan datang.
Selain aspek budaya dan bahasa, elemen keanggunan, keayuan dan kemampuan peserta membawa peranan sebagai duta budaya turut menjadi penilaian utama.
“Unduk Ngadau bukan sekadar pertandingan pentas, tetapi platform untuk melahirkan ikon budaya yang membawa identiti masyarakat Sabah ke peringkat lebih luas,” katanya.
Unduk Ngadau Kaamatan kekal sebagai acara teras Pesta Kaamatan dan terus memainkan peranan penting memperkukuh jati diri dan warisan budaya masyarakat Kadazandusun Murut dan Rungus di Sabah.
