Majoriti Pimpinan Tolak Keputusan USNO Keluar GRS, Presiden didesak letak jawatan

Ketua Penerangan USNO Ishkandar

KOTA KINABALU: 6 Mei 2026 — Ketua Penerangan USNO, Iskandar Zulkarnain Ramli, menyifatkan keputusan membawa parti itu keluar dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai langkah politik yang tergesa-gesa dan lebih memudaratkan berbanding menguntungkan.

Menurutnya, USNO yang ketika ini tidak mempunyai kerusi di Dewan Undangan Negeri akan bertambah lemah jika meninggalkan kerajaan tanpa hala tuju pembangkang yang jelas. Langkah sedemikian, tegas beliau, hanya menjauhkan parti dari peluang membantu rakyat dan membina semula kekuatan politik.

Iskandar turut menegaskan pentadbiran kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor menunjukkan rekod kestabilan dan pencapaian yang lebih baik berbanding beberapa kerajaan terdahulu. Justeru, katanya, tidak wajar USNO berpisah dari GRS hanya kerana keputusan politik bersifat peribadi.

Beliau memaklumkan keputusan tersebut bukanlah suara sebulat parti. Kehadiran 19 daripada 26 Ketua Bahagian bersama majoriti Ahli Majlis Tertinggi (AMT) dalam sidang media semalam menunjukkan majoriti kepimpinan USNO tidak bersetuju dengan pendekatan dan hala tuju Presiden, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

“Ini bukan lagi sekadar perbezaan pandangan. Ini isyarat jelas bahawa Tan Sri Pandikar telah kehilangan keyakinan dan sokongan besar dari pimpinan parti,” katanya sambil menambah sayap-sayap utama seperti Kaum Ibu dan Kumpulan Generasi Baru (KGB) tidak dibawa berbincang secara menyeluruh sebelum pengumuman dibuat.

Iskandar menegaskan USNO tidak boleh terus ditadbir berasaskan keputusan individu yang mengetepikan suara akar umbi, bahagian dan kepimpinan. Beliau menggesa parti kembali kepada amalan kepimpinan yang matang, demokratik dan menepati realiti politik semasa.

Sehubungan itu, beliau berpandangan Tan Sri Pandikar Amin Mulia wajar melepaskan jawatan Presiden USNO secara terhormat demi menyelamatkan masa depan parti dan membuka ruang kepada proses peralihan kepimpinan yang lebih segar, inklusif dan diyakini ahli.

“Peralihan kepimpinan bukan penghinaan terhadap jasa mana-mana tokoh. Dalam politik, apabila keyakinan majoriti hilang, keberanian untuk berundur secara terhormat juga adalah satu bentuk kepimpinan,” katanya.

Beliau menutup kenyataan dengan menegaskan bahawa USNO terlalu besar untuk terus dipimpin melalui keputusan unilateral dan sentimen peribadi. Katanya, sudah tiba masanya suara akar umbi didengar, dihormati dan diberikan peranan menentukan masa depan parti.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal