Lebih 30 rumah setinggan musnah dalam kebakaran awal pagi di Karamunting

Copy of Gambar Artikel 1 20260429 120404 0000

SANDAKAN: 29 April 2026 – Sepuluh hari selepas kebakaran besar di Kampung Bahagia, satu lagi insiden kebakaran melibatkan penempatan setinggan berlaku di PPH Karamunting apabila lebih 30 buah rumah musnah dalam kejadian awal pagi tadi di Jalan Bokara, Kampung Karamunting.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 pada jam 3.16 pagi sebelum jentera pertama tiba di lokasi kira-kira 18 minit kemudian, pada jam 3.34 pagi.

Menurut laporan awal, kebakaran dipercayai bermula dari bahagian tengah kawasan perumahan terbabit yang menempatkan rumah jenis tidak kekal. Api marak dengan cepat dan memusnahkan keseluruhan struktur kediaman yang melibatkan keluasan dianggarkan 3.5 ekar.

“Operasi pemadaman melibatkan seramai 21 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan dengan bantuan pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), RELA dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM),” menurut kenyataan itu.

1002881278
Lebih 30 rumah setinggan musnah dalam kebakaran yang bermula jam 3 pagi. Foto – APMM

Operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan I, Rosemedian Majid, manakala Ketua Balai BBP Sandakan, Jimmy Lagung bertindak sebagai pegawai kanan di lokasi.

Pasukan bomba menggunakan tiga aliran sepanjang 500 kaki dengan lima pancutan air yang diperoleh dari tangki jentera, lori tangki air dan pili bomba berhampiran bagi mengawal kebakaran. Api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 4.29 pagi sebelum operasi ditamatkan pada jam 7.01 pagi setelah keadaan disahkan selamat.

Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu memandangkan beberapa rumah tidak berpenghuni ketika kebakaran berlaku, termasuk kediaman yang dipercayai menjadi punca awal kejadian.

Bagaimanapun, lebih 30 rumah dilaporkan musnah 100 peratus, manakala pasukan bomba berjaya menyelamatkan kira-kira 100 buah rumah lain daripada turut terbakar.

Punca sebenar kebakaran masih dalam siasatan pihak berkuasa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal