KOTA KINABALU: 24 April 2026 – Penyanyi muda dari Ranau, Sitipah Jahamin, mencuri perhatian dengan karya terbaharunya dalam bahasa Murut, meskipun beliau berasal dari etnik Dusun Liwan.
Anak kelahiran Kampung Langsat itu kembali dengan single berjudul Pirut Nu Huang yang membawa maksud “Kesetiaan”, lagu bertemakan cinta setia dengan lirik puitis yang sarat emosi, merangkumi perasaan rindu, harapan dan komitmen dalam sesebuah hubungan.
Menurut Sitipah, pemilihan bahasa Murut didorong oleh minat terhadap keunikan bahasa itu dan hasrat memperkenalkannya kepada khalayak lebih luas.
“Saya memilih bahasa Murut kerana keindahannya, dan pada masa sama mahu memartabatkan bahasa itu melalui nyanyian,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa langkah itu bukanlah mengetepikan identiti sebagai Dusun Liwan, sebaliknya ingin mengangkat kedua-dua warisan secara seimbang.
“Bukan saya lupa Dusun. Saya akan terus membawakan lagu-lagu Dusun. Kedua-duanya penting bagi saya,” jelasnya.
Lagu ini hasil kerjasama dengan Obon Raunis (pencipta lagu dan lirik), dengan susunan muzik oleh UC Production, dan rakaman di Pusakag Studio. Pirut Nu Huang sesuai untuk suasana santai dan keramaian, terutamanya ketika musim perayaan Kaamatan.
Sitipah menyasarkan untuk terus menghasilkan karya asli dan membawa identiti muzik Sabah ke pentas yang lebih luas.
“Saya berharap, saya dapat terus berkembang dalam industri dan menghasilkan lagu yang boleh menyentuh hati pendengar,” ujarnya.
Pirut Nu Huang kini boleh didengari di pelbagai platform digital termasuk YouTube dan Spotify, sekali gus memperluas capaian kepada peminat muzik tempatan dan antarabangsa.
