TotalEnergies berminat mewujudkan kehadiran jangka panjang di Sabah

TotalEnergies 2 scaled

KOTA KINABALU: 14 April 2026 –  Sabah mengalu-alukan minat TotalEnergies untuk mewujudkan kehadiran jangka panjang di negeri ini sekali gus memperkukuh kedudukan Sabah dalam sektor tenaga serantau.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata Sabah mempunyai potensi penerokaan laut dalam yang besar dan belum diterokai sepenuhnya serta mengalu-alukan rakan kongsi berkeupayaan teknikal untuk membuka potensi sumber berkenaan.

“Sabah berhasrat bekerjasama dengan pelabur bereputasi membawa keupayaan dalam penerokaan laut dalam untuk pengeluaran yang cekap dan mampan demi merealisasikan sepenuhnya potensi huluan negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa pertemuan dengan Pengarah Urusan TotalEnergies EP Malaysia, Jerome Saniez di Menara Kinabalu pada Selasa.

TotalEnergies 1 1

TotalEnergies, sebuah syarikat tenaga pelbagai global dari Perancis, merupakan antara lima pemain utama dengan portfolio LNG dan huluan yang kukuh serta berkembang di peringkat global.

Dalam pertemuan itu, Saniez memberi taklimat mengenai operasi TotalEnergies yang kini terlibat dalam penerokaan ultra laut dalam di perairan Sabah dengan pegangan kepentingan sebanyak 34.9 peratus bersama Petronas Carigali Sdn Bhd dan Shell.

TotalEnergies turut terlibat dalam lima lagi blok di luar pesisir Sabah selain mempunyai kepentingan dalam aset gas luar pesisir utama di Sarawak.

Saniez memberitahu Hajiji bahawa TotalEnergies yakin Sabah merupakan langkah seterusnya yang kukuh bagi syarikat itu, mengambil kira potensi luar pesisir yang besar, permintaan gas yang semakin meningkat, dasar mesra pelabur serta sokongan padu di peringkat negeri dan Persekutuan.

Turut hadir Pengarah Perundangan TotalEnergies EP Malaysia, Solpiee Sahmat serta wakil Serantau Dewan Perdagangan dan Industri (CCI) Perancis Malaysia bagi Sabah, Jacques Leizerovici.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal