Mahkamah Rayuan benarkan Kerajaan Persekutuan tangguh pelaksanaan 40%

Hajiji scaled

KOTA KINABALU:, 7 April 2026 – Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Kerajaan Persekutuan untuk menangguhkan pelaksanaan arahan Mahkamah Tinggi berhubung tuntutan hasil 40%, kelmarin.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor berkata penangguhan itu bersifat prosedural dan bertujuan mengekalkan status quo sementara proses rayuan berlangsung.

“Walaupun prosiding mahkamah sedang berjalan, adalah diharapkan rundingan dapat diteruskan ke arah mencapai persetujuan bersama,” katanya.

Jelas beliau, ia tidak menolak dapatan Mahkamah Tinggi, sebaliknya memberi ruang kepada proses perundangan berjalan dengan teratur, dan bahawa semakan pembayaran bagi Tempoh Terlepas (1974–2021) tidak seharusnya terhenti meskipun rayuan sedang berjalan.

Hajiji menegaskan bahawa Sabah kekal dengan pendirian bahawa formula 40% perlu disemak dan dilaksanakan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

Tambahnya lagi, kerajaan Persekutuan tidak merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada Oktober 2025 mengenai hak perlembagaan Sabah untuk 40 peratus daripada hasil bersih persekutuan yang dikutip, dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah berjanji untuk mematuhinya.

Pendengaran rayuan dijadualkan antara 27 hingga 30 Oktober 2026, manakala e-Review ditetapkan pada 13 April ini.

Pada 17 Oktober 2025, mahkamah memutuskan bahawa Kerajaan Persekutuan bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa perlembagaannya kerana gagal menunaikan hak Sabah untuk menerima 40 peratus daripada hasil bersih yang diperoleh Persekutuan dari Sabah bagi tempoh 1974-2021.

Selain itu, mahkamah juga telah mengeluarkan perintah berikut – mengarahkan semakan bersama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah untuk dilengkapkan dalam tempoh 90 hari; dan,  mengarahkan persetujuan muktamad mengenai tuntutan tersebut dicapai dalam tempoh 180 hari – dan, keputusan ini dibuat berikutan semakan kehakiman yang difailkan oleh Persatuan Undang-undang Sabah (SLS).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal