KAJANG: 23 September 2025 – Rakyat Malaysia boleh menukar cip MyKad rosak secara percuma bermula hari ini hingga 7 Oktober depan di semua pejabat dan kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) seluruh negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, inisiatif itu dilaksanakan seiring dengan program BUDI95 yang diumumkan Perdana Menteri bagi memastikan rakyat tidak terhalang menikmati subsidi kerajaan hanya kerana masalah teknikal pada MyKad.
Beliau menegaskan, Kerajaan Madani menanggung sepenuhnya kos penukaran MyKad rosak sepanjang tempoh berkenaan, sebagai tanda keprihatinan supaya akses rakyat terhadap subsidi tidak terjejas.
Saifuddin berkata, berdasarkan rekod JPN, sebanyak 294,715 permohonan penggantian MyKad rosak direkodkan dari Januari hingga Ogos 2025, dengan peningkatan ketara sejak tiga bulan kebelakangan iaitu 32,819 permohonan pada Jun, 40,371 pada Julai dan 45,411 pada Ogos.
Katanya, bagi September sahaja, setakat 21 haribulan, JPN menerima 22,858 permohonan, dengan kos penukaran percuma dianggarkan mencecah RM714,660.
Beliau menyeru rakyat menjaga MyKad dengan baik kerana ia bukan sahaja dokumen pengenalan diri, tetapi juga kunci kepada pelbagai kemudahan kerajaan.
Tambahnya, Kerajaan Madani berpegang kepada prinsip kepedulian dan inklusiviti, memastikan setiap rakyat mendapat manfaat tanpa ada yang tercicir.
Sumber: Berita Harian
