Oleh David E.
KENINGAU: Tidak disangka gadis anggun pandai main gamelan, “Saya minat dalam muzik dan kraftangan. Semasa sekolah menengah, saya dalam kelas muzik dan selalu perform gamelan untuk acara seperti Hari Anugerah Sekolah,” ujarnya dengan riak wajah berseri-seri.

Gadis gamelan berkata, “Bagi saya, Unduk Ngadau sebenarnya ikon dan platform untuk wanita menunjukkan keyakinan diri, keberanian bersuara, dan membawa identity budaya untuk memelihara tradisi Sabah.”
“Kesihatan mental, ramai anak muda tertekan tapi takut meminta bantuan. Meminta bantuan bukan tanda lemah, tapi inisiatif untuk membantu diri sendiri,” ujarnya ketika disoal berkaitan kesihatan mental di kalangan wanita muda.

Gadis manis Edreen Lynn Edward, berusia 23 tahun, dari Kampung Keningau, dan anak sulung dari tiga adik-beradik perempuan, baru pertama kali menyertai pertandingan Unduk Ngadau. Namun langkah pertamanya itu terus mengangkatnya sebagai Juara Unduk Ngadau Daerah Keningau 2026.
“Incan nama panggilan saya dalam keluarga. Semasa ibu saya hamil, dia memakai baju yang ada kartun Sinchan,” katanya dengan senyuman dan tawa yang agak melucukan, tetapi jauh lebih cantik dari Sinchan.
Edreen tamat pengajian dan mendapat Ijazah Sarjana Muda Psikologi Kanak-kanak dan Keluarga tahun lalu, kini bekerja sebagai Early Intervention Teacher di Minda Early Intervention Program, Keningau.
“Pilihan utama saya sebenarnya ialah pendidikan awal kanak-kanak. Saya mengambil degree kanak-kanak dan keluarga kerana ia berkaitan dengan perkembangan awal kanak-kanak yang saya minati. Ia melibatkan perkembangan kanak-kanak dari segi sosial, emosi, tingkah laku dan pengaruh persekitaran,” kata Edreen.
Pasti ramai yang tidak tahu apa itu “neurodivergent”. “Ia bukan masalah tetapi perbezaan cara otak berfungsi. Setiap kanak-kanak mempunyai cara otak berfungsi yang berbeza,” jelasnya.
Edreen menyertai UNK atas dorongan keluarga dan kawan-kawan, dengan melihat UNK 2007 Jo-anna Sue Henly Rampas menjadi ikon utama, katanya, “Jo-anna menjadi inspirasi sebab saya suka pembawaan dirinya yang berani menyuarakan pendapat sebagai seorang wanita.”
“Saya mahu keluar dari zon selesa saya, sama dengan dia yang menang UNK semasa berumur 18 tahun. Melalui ini saya sedar yang Unduk Ngadau bukan sekadar pertandingan tetapi satu platform untuk mencabar diri, membina keyakinan diri dan memperkukuhkan lagi pengetahuan saya tentang budaya,” katanya.
“Ayah saya fasih berbahasa Dusun Gana, Bingkor tetapi ibu saya tidak fasih berbahasa Dusun Keningau,” katanya sambil tersenyum, Edreen memberi bayangan betapa susahnya belajar bahasa ibunda di rumah.
“Saya belajar dengan kawan yang fasih berbahasa ibunda di UMS dahulu, dan belajar sendiri dengan menonton live Q&A tahun-tahun lepas, mendengar dan menyanyi lagu Dusun, dan ke gereja SFX untuk misa pertama yang menggunakan bahasa Dusun.
“Sejujurnya, bahasa ibunda memang mencabar bagi saya. Belajar bahasa bukan perkara segera, perlu masa yang lama dan yang paling penting, perlu diaplikasikan dalam kehidupan seharian,” jelas Edreen.
“Penyokong kuat saya ialah keluarga, team dan orang yang rapat dengan saya,” ujar Edreen ketika ditanya tentang siapa yang sentiasa bersama dengannya.
“Pengorbanan yang paling mencabar ialah masa dan tenaga untuk membuat persiapan, terutamanya membahagi masa untuk fokus antara tanggungjawab harian, kerja dan persiapan UNK,” katanya, namun bila ditanya pernah terasa mahu berhenti, Edreen dengan semangat berkata, “Tidak pernah. Saya tetap tabah, teguh pendirian, dan usaha berlipat ganda.”
Mengenai persiapan, “Pertama, dari segi komunikasi, saya berlatih pengucapan awam dan kemahiran berinteraksi sosial. Kedua, fizikal dan mental – saya bersukan dan untuk mental, hanya fokus untuk membuat yang terbaik dan tidak membandingkan diri dengan orang lain kerana setiap orang ada keunikan tersendiri.”
Dalam proses itu Edreen belajar tentang disiplin dan pengurusan masa untuk mengimbangi tanggungjawab. “Saya juga belajar attitude – tingkah laku sangat penting kerana orang akan menilai kelakuan kita.”
UNK mempunyai satu program yang dikenali sebagai “keluar dari zon selesa,” Edreen juga berkata, “Saya belajar untuk berani keluar dari zon selesa, terutama komunikasi dan pembawaan diri.”
“Walaupun pada awalnya kurang yakin kerana penguasaan bahasa, melalui latihan dan kesanggupan belajar, saya berjaya membina keyakinan diri,” katanya dengan wajah lega.
Dengan prihatin Edreen berpesan untuk semua wanita, “Kejarlah pendidikan dan impian walaupun ada cabaran.
“Teguhkan keyakinan diri, berani keluar dari kepompong dan gunakanlah bakat masing-masing untuk memberi impak kepada komuniti. Wanita bukan saja berfungsi dalam keluarga, tetapi juga agen perubahan dalam masyarakat.”
Ketika ditanya tentang populariti, guru Edreen merenung sekejap dan berkata, “Populariti bersifat sementara. Rezeki itu luas – bukan hanya soal wang atau kemenangan, tetapi juga peluang, pengalaman, ilmu, hubungan baik, dan ruang untuk memperbaiki diri.
“Saya ikut pertandingan ini bukan untuk populariti, tetapi untuk mencabar diri. Kalau akhirnya dikenali ramai, saya anggap itu sebagai tanggungjawab untuk membawa pengaruh positif.
“Saya mahu dikenali bukan hanya sebagai peserta atau pemenang, tetapi sebagai wanita yang terus berkembang dan memberi manfaat.
“Saya melihat UNK sebagai permulaan kepada perjalanan yang akan datang. Ini kali pertama saya menyertai, dan pengalaman ini mengajar saya bahawa saya sebenarnya mampu buat lebih daripada apa yang saya jangka. UNK membuka peluang, membina keyakinan, dan membuka fikiran untuk terus berkembang.”
Kepada anak-anak gadis muda, dengan seikhlas-ikhlasnya Edreen berkata, ”Jangan takut mencuba, sebab di luar zon selesalah kita berkembang untuk mencapai potensi besar dalam diri kita.”
