Program SSR selamatkan warisan biodiversity Sabah

a386c5df 9986 4cc0 b3fd 71a94033bc14

PENAMPANG: 22 Mei 2026: Program Seeds’ Spirit Revival (SSR) yang diperkenalkan sejak tahun 2021 dilihat sebagai langkah penting dalam usaha mengumpul, memulihara dan menanam semula tanaman asli atau indigenous species bagi memastikan khazanah biodiversiti Sabah terus terpelihara untuk generasi akan datang.

Timbalan Ketua Menteri I yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Pesta Kaamatan 2026, Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam berkata, benih tanaman merupakan asas kepada kehidupan tumbuhan dan sumber utama kelangsungan sektor pertanian.

Katanya, tanpa benih, manusia tidak dapat menjalankan aktiviti bercucuk tanam dan menghasilkan sumber makanan harian yang diperlukan.

Joachim berkata, melalui penyelidikan yang disokong teknologi moden, pelbagai varieti tanaman baharu telah berjaya dihasilkan. Namun, dalam arus pembangunan yang semakin pesat, kepelbagaian tanaman tradisional dan tumbuhan asli di persekitaran masyarakat semakin dilupakan.

“Tumbuhan-tumbuhan ini telah lama digunakan oleh masyarakat setempat sejak turun-temurun sama ada sebagai sumber makanan, ubat-ubatan tradisional mahupun kegunaan harian yang lain. Malah, sebahagian tumbuhan ini semakin sukar ditemui dan berisiko menghadapi kepupusan,” katanya dalam ucapannya semasa pelancaran Program SSR bersempena sambutan Hari Biodiversiti Sedunia 2026, yang disampaikan oleh Pembantu Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Limus Jury.

Program SSR yang dimulakan pada tahun 2021 merupakan usaha yang amat sesuai untuk mengumpul, memulihara dan menanam semula tanaman asli dalam bentuk biji benih, keratan atau anak pokok.

Menurutnya lagi, bahan tanaman yang dikumpulkan dari daerah-daerah di seluruh Sabah akan diserahkan kepada pihak pemelihara seterusnya untuk dibiakkan, dipulihara dan dibangunkan agar tidak pupus serta dapat dimanfaatkan oleh generasi akan datang.

Dalam usaha memulihara kepelbagaian tumbuhan tersebut, Jabatan Pertanian Sabah telah diamanahkan sebagai the next custodian berdasarkan fungsi, kepakaran dan pengalaman jabatan itu dalam bidang pemuliharaan tumbuhan.

Tambahnya, pemilihan tarikh pelancaran Program SSR amat bertepatan dengan sambutan Hari Biodiversiti Sedunia yang diraikan pada 22 Mei setiap tahun untuk menghargai kepelbagaian hidupan biologi di dunia.

Tema Hari Biodiversiti Sedunia 2026 iaitu “Acting Locally for Global Impact” membawa mesej bahawa setiap usaha pemuliharaan yang dilaksanakan di peringkat tempatan mampu memberi kesan besar kepada kelestarian biodiversiti global.

“Program seperti SSR bukan sahaja penting dalam memulihara warisan biodiversiti Sabah, malah turut menyumbang kepada agenda pemuliharaan biodiversiti dunia secara menyeluruh,” katanya.

Beliau menambah, usaha itu juga selaras dengan komitmen global di bawah Kunming-Montreal Global Biodiversity Framework yang menekankan penglibatan semua lapisan masyarakat dalam usaha memelihara alam semula jadi demi kesejahteraan generasi masa hadapan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal