Semangat komuniti Kg Kiau bangunkan laluan baru pendakian Gunung Kinabalu yang lebih mencabar

WhatsApp Image 2026 03 17 at 14.47.16

Kota Belud: 16 Mac 2026 – Di lereng barat laut Gunung Kinabalu, pada ketinggian lebih 1,600 meter dari aras laut, tersembunyi sebuah dataran tinggi yang dikenali sebagai Marai Parai. Kawasan ini bukan sekadar hamparan hijau yang memukau, tetapi turut menyimpan kisah usaha dan semangat komuniti Kampung Kiau yang bersama-sama membangunkan laluan baharu menuju Gunung Kinabalu.

Tanpa bantuan jentera berat atau kenderaan, penduduk kampung sendiri memikul bahan binaan seperti bata, besi, pasir, simen, zink dan barangan lain merentasi hutan dan sungai untuk membina kemudahan penginapan dan tempat berehat di kawasan tersebut.

WhatsApp Image 2026 03 17 at 12.35.48

Usaha ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Taman-Taman Sabah dalam membangunkan pelancongan lestari di kawasan Gunung Kinabalu. Melalui pendekatan yang melibatkan komuniti setempat secara langsung, projek pembangunan laluan baharu ke Marai Parai ini bukan sahaja membuka potensi pelancongan baharu, tetapi juga memberi peluang kepada penduduk kampung Kiau untuk turut serta dalam usaha pembangunan kawasan tersebut.

Malah, semangat penglibatan jelas kelihatan apabila golongan wanita di Kampung Kiau turut bersama memikul bahan binaan melalui laluan curam dan licin menuju ke Marai Parai.

Latar Belakang Marai Parai
Marai Parai terletak pada ketinggian sekitar 1,652 meter dari aras laut. Untuk sampai ke sana, porter dan pengunjung perlu melalui laluan sejauh kira-kira 5.2 km bermula dari Kampung Kiau Nuluh, dengan perjalanan mengambil masa antara 5 hingga 6 jam bergantung kepada keadaan cuaca dan laluan.

WhatsApp Image 2026 03 17 at 11.41.46
Pemandangan dataran tinggi Marai-Parai pada waktu Petang

Menurut kajian yang diterbitkan dalam Sabah Parks Nature Journal 2024, laluan Marai Parai mempunyai potensi besar untuk menjadi tarikan pelancongan baharu di Sabah.

Kajian bertajuk Identifying Tourism Potential and Community Participation Intention: The Case of Marai Parai Trail, Kota Belud, Sabah mengenal pasti sekurang-kurangnya 25 lokasi menarik di sepanjang laluan tersebut.

487484832 1082385277248107 3278467311305981503 n
kajian Identifying Tourism Potential and Community Participation Intention: The Case of Marai Parai Trail, Kota Belud, Sabah. — Foto: Taman-Taman Sabah

Antara lokasi yang dikenal pasti termasuk Minitinduk Gorge, yang dipercayai pernah menjadi pintu masuk lama ke Gunung Kinabalu pada suatu ketika dahulu. Laluan ini juga melalui jejak bersejarah Hugh Low, laluan yang digunakan oleh pendaki pertama Gunung Kinabalu pada tahun 1851.

Selain itu terdapat Air Terjun Diba Titiu yang terkenal dengan airnya yang jernih dan Gunung Nungkok yang menawarkan pemandangan luas ke seluruh lembah di sekitarnya. Kajian tersebut turut mendapati, terdapat 21 kemudahan penginapan dan tapak perkhemahan di kawasan berkenaan yang mampu menampung sehingga 319 pelawat setiap hari.

WhatsApp Image 2026 03 17 at 12.40.57
Peta dan lokasi tarikan di Marai Parai Trail, Kota Belud. — Sumber: kajian Marai Parai.

Tinjauan terhadap penduduk di Kampung Kiau Nuluh, Kampung Kiau Tomodu dan Kampung Kiau Taburi pula menunjukkan 63% daripada mereka berminat untuk terlibat dalam sektor pelancongan. Antaranya, menjadi pemandu pelancong, porter, pengusaha tapak perkhemahan dan menyediakan perkhidmatan homestay.

Inisiatif yang digerakkan oleh Taman-Taman Sabah itu dilihat sebagai usaha jangka panjang untuk membangunkan pelancongan lestari, dengan melibatkan komuniti setempat secara langsung dalam pembangunan laluan baharu tersebut.

486051740 4012506918964287 9170493994465910875 n
Wakil Taman-Taman Sabah bersama pemimpin Kampung Kiau semasa Ekspedisi Marai Parai pada Oktober 2023. — Foto oleh Duin Limundok

Namun angka dan statistik sahaja tidak cukup untuk memahami sepenuhnya kisah di sebalik Marai Parai. Terdapat cerita tentang manusia, usaha dan harapan yang membentuk laluan tersebut. Atas sebab itu, wartawan memutuskan untuk turun sendiri ke lapangan, bukan sekadar menulis dari belakang meja, tetapi merasai sendiri pengalaman menjadi porter yang memikul bahan binaan dan peralatan ke laluan Marai Parai untuk memahami apa yang mereka lalui dan rasakan.

WhatsApp Image 2026 03 17 at 11.59.06
Wartawan sedang memikul bata seberat 10 kilogram semasa menjalankan tugasan lapangan. — Foto oleh Melyounex

PERJALANAN BERMULA DALAM GELAP

Perjalanan bermula seawal 4.30 pagi dari Kampung Kiau Nuluh ketika keadaan masih gelap dengan suhu sekitar 16 darjah Celsius. Hanya cahaya lampu suluh menjadi panduan sepanjang laluan. Pada 4.55 pagi, rombongan berhenti berehat seketika di pondok Dundurongon sebelum meneruskan perjalanan menuruni laluan curam. Dalam keheningan subuh, langit dipenuhi kilauan bintang, manakala bayangan Gunung Kinabalu dan bukit-bukau di sekeliling menjadi latar pemandangan yang menenangkan.

WhatsApp Image 2026 03 17 at 12.55.04
Pondok Dundurongon menjadi hentian untuk berehat dan menyesuaikan beban sebelum menuruni bukit.

Perjalanan diteruskan pada 5.08 pagi melalui laluan yang telah diperbaiki dengan tangga bagi memudahkan pergerakan menuruni bukit. Namun permukaan yang masih licin tetap menjadi cabaran kepada rombongan. Semasa dalam perjalanan itu, seorang daripada rombongan tergelincir ketika menuruni laluan tersebut dan terpaksa berpatah balik ke kampung akibat kecederaan yang dialaminya.

Pada 5.19 pagi, rombongan menyeberangi Sungai Tinokok melalui sebuah jambatan yang bergoyang setiap kali dilalui. Dengan beban besi sepanjang kira-kira 10 kaki dan seberat sekitar 10 Kg yang dipikul di bahu, kestabilan menjadi cabaran utama ketika melintasi jambatan tersebut.

WhatsApp Image 2026 03 17 at 13.10.27
Jambatan Sungai Tinokok

Selepas itu, laluan menjadi semakin mencabar apabila jalan yang licin dan sempit menyebabkan besi yang dipikul sering terlanggar pokok di kiri dan kanan laluan. Seorang porter sempat berseloroh menggambarkan keadaan tersebut.

“Maju ke depan langgar kayu, mundur sedikit pun langgar kayu.
Maju melangkah ke depan, terundur sedikit… licin ouh.”

Sekitar 5.55 pagi, rombongan tiba di Sungai Tohubang dan menyeberangi jambatan buluh yang dibina lebih tinggi kerana paras air sungai boleh meningkat dengan cepat ketika hujan. Sebuah jambatan konkrit juga sedang dibina di kawasan itu bagi memudahkan laluan pada masa hadapan.

WhatsApp Image 2026 03 17 at 13.13.28
Jambatan yang diperbuat dari pokok buluh

Tepat jam 6.09 pagi, rombongan memasuki kawasan hutan yang semakin lebat. Laluan mendaki bertambah curam dan licin, menguji keseimbangan. Selepas berjam-jam berjalan dalam kegelapan, keletihan mula terasa. Dalam keadaan penat dan mengantuk, wartawan sempat berfikir: “Kenapa saya datang ke sini?” Namun, rungutan itu lesap seketika apabila bunyi siulan pelbagai spesies burung dan dengungan serangga mula memecah kesunyian, ditambah dengan cahaya mentari pagi yang perlahan menembusi kanopi hutan, sebuah pengalaman yang sukar digambarkan dengan kata-kata.

NUNUK BASECAMP

Pada 7.00 pagi, rombongan akhirnya tiba di Nunuk Basecamp, iaitu tempat penginapan sementara bagi porter yang menghantar bahan binaan ke Marai Parai. Di sini rombongan bertemu tiga wanita yang baru turun dari Marai Parai selepas selesai menghantar barang selama dua hari satu malam. Apa yang lebih mengagumkan, ketiga-tiga wanita tersebut sudah berusia sekitar 50-an, namun masih mampu melakukan kerja berat seperti porter muda yang lain.

WhatsApp Image 2026 03 17 at 13.26.41

Sekitar 7.36 pagi, rombongan berhenti berehat sambil menikmati pemandangan Gunung Kinabalu yang mula kelihatan di celah-celah pokok. Seorang porter berkata pemandangan seperti itu jarang dilihat. “Pemandangan seperti ini kali pertama saya nampak walaupun sudah beberapa kali naik ke sini. Biasanya cuaca buruk,” katanya.

WhatsApp Image 2026 03 17 at 13.30.10

TIBA DI MARAI PARAI
Perjalanan diteruskan sehingga rombongan tiba di Nabalu Sambau pada 8.25 pagi, sebuah kawasan terbuka yang menawarkan pemandangan luas bukit-bukau di sekitarnya, termasuk Gunung Nungkok dan Gunung Kinabalu.

WhatsApp Image 2026 03 17 at 13.41.31

Rombongan mengambil kesempatan untuk berhenti seketika bagi berehat sambil menikmati makanan ringan selepas beberapa jam berjalan. Di kawasan tersebut juga kelihatan beberapa spesies burung dan rama-rama yang berterbangan di sekitar tumbuhan hutan, termasuk pokok periuk kera yang tumbuh di kawasan tanah tinggi itu.

WhatsApp Image 2026 03 17 at 13.39.31

Sekitar 9.00 pagi, rombongan tiba di anak sungai Kinotoki. Oleh kerana jambatan masih belum dibina, sungai tersebut perlu dilalui dengan berhati-hati menggunakan tali yang disediakan bagi membantu menyeberang, terutama ketika arus menjadi deras selepas hujan lebat.

WhatsApp Image 2026 03 17 at 13.43.22
Anak Sungai Kinotoki
WhatsApp Image 2026 03 17 at 13.46.26
keadaan jalan yang berlumpur dan licin

Selepas menempuh beberapa lagi laluan berbukit dan licin, rombongan akhirnya tiba di kawasan Marai Parai pada 10.00 pagi. Di dataran tinggi tersebut kelihatan pelbagai bahan binaan seperti besi, pasir, batu kecil, zink dan peralatan pembinaan yang telah dihantar lebih awal oleh penduduk Kampung Kiau. Apa yang lebih mengagumkan, semua bahan binaan itu sampai ke kawasan Marai Parai dengan tenaga manusia, dipikul merentasi hutan, sungai dan laluan curam sepanjang perjalanan dari kampung.

WhatsApp Image 2026 03 17 at 13.46.26 1

PENGALAMAN PORTER

Bagi Japarin Ginsos, 48, dari Kampung Kiau Nuluh, laluan Marai Parai bukan sesuatu yang asing. Beliau telah terlibat dalam penghantaran bahan binaan ke kawasan tersebut lebih dari 20 kali. Menurutnya, perjalanan biasanya bermula pada waktu pagi dan mengambil masa sekitar 6 hingga 7 jam untuk sampai ke marai parai, bergantung kepada keadaan cuaca dan laluan.

WhatsApp Image 2026 03 17 at 13.58.11

“Barang yang kami hantar bergantung kepada keperluan pembinaan seperti pasir, bata, batu halus, simen, besi, juga zink dan sebagainya,” katanya.

Japarin mengakui laluan Marai Parai jauh lebih mencabar berbanding laluan biasa Gunung Kinabalu kerana sebahagian laluan masih dalam proses pembinaan.
“Buat masa ini laluan masih lacak dan berlumpur, jadi memang perlu berhati-hati setiap masa,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa risiko tergelincir menjadi cabaran utama, selain laluan curam yang memerlukan ketahanan mental yang kuat. Namun bagi beliau dan rakan-rakan porter lain, usaha tersebut dilakukan dengan penuh semangat kerana mereka mahu melihat laluan baharu Gunung Kinabalu ini menjadi kenyataan.

“Sebagai orang Kampung Kiau, kami mahu tunjuk kepada pihak Taman-Taman Sabah bahawa orang Kiau ada semangat untuk terlibat menjayakan laluan baharu ini,” katanya.

KOMITMEN DAN KEBERANIAN WANITA

Bagi Yasni Sapinggi, menjadi porter di laluan Marai Parai bukan sekadar kerja fizikal, tetapi juga satu tanggungjawab untuk membantu keluarga dan komuniti.

WhatsApp Image 2026 03 11 at 18.44.01

Yasni telah melalui laluan tersebut sebanyak lebih 10 kali dan memilih pekerjaan sebagai porter kerana perlu menambah pendapatan bagi menyara anak-anaknya. Walaupun menyedari tahap kesukaran laluan Marai Parai yang tinggi, beliau melihat penglibatannya sebagai satu amanah yang perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.

Menurut Yasni, cabaran paling ketara di laluan tersebut ialah keadaan jalan yang curam dan licin, terutama ketika hujan.

“Tanah berlumpur seperti laluan kerbau memang perlukan fokus dan disiplin tinggi setiap langkah,” katanya.

Sepanjang penglibatannya, Yasni pernah membawa muatan seberat kira-kira 20 kg, termasuk bata dan pasir. Yasni juga pernah berdepan situasi berbahaya ketika menyeberangi sungai, melalui laluan tinggi yang licin dan mengalami sakit lutut dalam perjalanan.

Namun Yasni tetap bertahan dengan kekuatan mental dan  sokongan rakan seperjuangan.

“Wanita perlu percaya kepada kemampuan diri sendiri. Keberanian bukan bermaksud tiada rasa takut, tetapi tetap melangkah walaupun takut,” katanya.

SEMANGAT KOMUNITI

Di sebalik setiap langkah di laluan Marai Parai, terdapat satu perkara yang paling jelas dirasai iaitu, semangat komuniti.

Di laluan yang licin, curam dan sunyi di tengah hutan itu, penduduk kampung tidak berjalan bersendirian. Mereka saling membantu, berkongsi beban dan memberi semangat antara satu sama lain setiap kali perjalanan menjadi semakin sukar.

WhatsApp Image 2026 01 14 at 13.54.29

Bahan binaan yang dipikul seperti besi, pasir, simen, bata dan bahan binaan lainya mungkin kelihatan seperti sekadar bahan untuk membina kemudahan di atas gunung. Namun bagi penduduk Kampung Kiau, setiap beban yang dibawa sebenarnya membawa harapan.

Harapan bahawa suatu hari nanti laluan Marai Parai akan menjadi satu lagi destinasi baharu bagi pencinta aktiviti lasak yang datang ke Gunung Kinabalu.

Lebih daripada itu, laluan ini juga membawa harapan untuk masa depan komuniti setempat iaitu peluang pekerjaan, peluang pelancongan dan peluang untuk generasi muda terus tinggal dan membina kehidupan di kampung mereka sendiri.

Bagi penduduk Kampung Kiau, laluan Marai Parai bukan sekadar trek pendakian tetapi ia adalah simbol ketabahan manusia, kekuatan komuniti dan semangat kerjasama yang telah lama menjadi identiti masyarakat di kaki Gunung Kinabalu dan mungkin suatu hari nanti, apabila para pendaki berjalan melalui laluan ini, mereka tidak hanya melihat keindahan alam semula jadi tetapi juga akan berjalan di atas sebuah laluan yang dibina dengan titik peluh, pengorbanan dan semangat penduduk Kampung Kiau.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal