KOTA KINABALU: Syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC-GLC) Sabah pada asalnya diwujudkan untuk memacu perindustrian dan menyebarkan pembangunan ekonomi di seluruh negeri, tetapi tadbir urus yang lemah, pengawasan yang kurang berkesan dan transformasi ekonomi yang perlahan pada masa lalu telah menghalang ramai di antara mereka daripada memenuhi mandat itu, kata Datuk Dr Mohd Yaakub Hj Johari, Pengerusi University College Sabah Foundation (UCSF), dan juga ahli Lembaga Pengarah Permodalan Nasional Berhad (PNB).
Bercakap di TV Teh Tarik Podcast@SG pada Khamis 22 Januari lalu, Dr Yaakub telah menjejak asal usul GLC-GLC Sabah berkaitan dengan pentadbiran Tan Sri Harris Salleh, ketika ia diimpikan sebagai pemangkin pembangunan untuk menerajui industry-industri strategik seperti minyak dan gas, pulpa dan kertas, dan sektor-sektor berasaskan sumber lain. Dengan beroperasi dengan lebih fleksibel daripada jabatan kerajaan, GLC dijangka menarik pembiayaan swasta, mewujudkan peluang pekerjaan dan merangsang pertumbuhan ekonomi, terutamanya di kawasan yang kurang membangun.
Bagaimanapun, beliau menyatakan bahawa prestasi GLC-GLC Sabah sejak beberapa dekad lalu adalah tidak sekata.
“Sesetengah GLC-GLC telah menunjukkan bahawa model ini boleh berfungsi, manakala yang lain menggambarkan apa yang berlaku apabila tadbir urus dan pengawasan gagal,” katanya.
Dr Yaakub mengambil Sabah Energy Corporation Sdn Bhd (SEC) sebagai contoh positif, menekankan keupayaannya untuk menjana dividen untuk Kerajaan Negeri dan kekal relevan dalam pembangunan sumber tenaga. Sebaliknya, Sabah Forest Industries Sdn Bhd (SFI), yang pernah bertujuan untuk menjadi peneraju industri pulpa dan kertas, runtuh di bawah beban hutang yang berat dan ketidakcekapan operasi sebelum menghentikan operasi pada tahun 2016.
Menurut beliau, kejatuhan SFI adalah akibat pengurusan kewangan yang lemah, tadbir urus korporat yang lemah, ketidakcekapan operasi, infrastruktur yang lapuk, keadaan pasaran yang merosot, dan isu tanah yang belum selesai – masalah yang juga jelas dalam GLC-GLC lain yang berprestasi rendah.
“Teras kepada banyak kegagalan adalah tadbir urus yang lemah, operasi yang tidak cekap, pengurusan kewangan yang lemah, dan kekurangan pengawasan,” katanya.
Tadbir Urus Bermula di Peringkat Atas
Dr Yaakub menekankan bahawa pemisahan peranan-peranan yang jelas adalah penting untuk tadbir urus GLC yang berkesan. Pengerusi mesti menyediakan kepimpinan kepada lembaga, memastikan akauntabiliti dan mewakili lembaga, manakala Lembaga Pengarah-pengarah – yang diberi kuasa yang diperlukan untuk mengurus dan menyelia pengurusan perniagaan dan hal ehwal syarikat – adalah pembuat keputusan tertinggi, bertanggungjawab untuk hala tuju keseluruhan, dasar, strategi, pengawasan dan pematuhan peraturan. CEO pula, mesti melaksanakan keputusan lembaga dan mengurus operasi harian selaras dengan dasar dan arahan yang diluluskan.
Walaupun mengakui bahawa pelantikan-perlantika lembaga pengarah sering dipengaruhi oleh pertimbangan politik, beliau berkata penglibatan politik bukanlah masalah yang wujud — dengan syarat calon yang dilantik berkelayakan, berpengalaman dan seimbang dari segi kemahiran dan kepelbagaian.
“Pelbagai masalah timbul apabila pelantikan-perlantikan dibuat semata-mata atas dasar politik tanpa mengambil kira merit. Itu menjejaskan profesionalisme, kepercayaan awam dan prestasi jangka panjang,” katanya.
Restrukturisasi Komprehensif Diperlukan
Dr Yaakub berhujah bahawa menghidupkan semula GLC-GLC yang berprestasi rendah memerlukan lebih daripada pembaharuan secara berperingkat. Sebaliknya, penstrukturan semula mesti bermula dengan mengenal pasti punca kegagalan, sama ada luaran — seperti fragmentasi ekonomi global, gangguan teknologi dan keadaan makroekonomi yang tidak menentu — atau dalaman, termasuk kelemahan tadbir urus, ketidakcekapan operasi, salah urus kewangan dan kekurangan profesionalisme.
Beliau mengalu-alukan usaha baru-baru ini oleh Ketua Menteri untuk memperkenalkan pemantauan prestasi berasaskan KPI dan pelaporan suku tahunan, termasuk kemungkinan menutup entiti-entiti yang berterusan tidak berprestasi.
“Tidak boleh ada mentaliti ‘busines seperti biasa’. Pembaharuan mesti komprehensif — profesionalisme kepimpinan, tadbir urus, penstrukturan semula kewangan, pemulihan operasi, pengurusan risiko, pendigitalan dan pematuhan ESG mesti bergerak bersama,” katanya.
Antara cadangan utamanya ialah penubuhan Jawatankuasa Pengawasan GLC Bebas Peringkat Tinggi di bawah Pejabat Ketua Menteri, dengan perwakilan dari Kementerian Kewangan. Jawatankuasa itu akan memantau prestasi, mengenal pasti jurang tadbir urus, mengurangkan pertindihan, meningkatkan sinergi dan mengesyorkan tindakan pembetulan.
Beliau juga menyeru kepada Pelan Transformasi GLC-GLC Sabah, selaras dengan Kerangka Ekonomi Madani, SMJ 2.0 dan semangat MA63, untuk menyediakan hala tuju strategik jangka panjang. Ini termasuk garis panduan standard mengenai komposisi lembaga, tempoh, tanggungjawab dan imbuhan, serta usaha untuk menempatkan lebih ramai anak Sabah dalam peranan kepimpinan dalam GLC nasional, di peringkat Lembaga Pengarah dan Pengurusan Tertinggi untuk meningkatkan bakat tempatan.
GLC-GLC harus menceburi sektor pertumbuhan strategik seperti tenaga boleh baharu, penjagaan kesihatan dan bioteknologi, ekonomi digital, kecerdasan buatan, semikonduktor, logistik, maritim dan aeroangkasa, dan berhati-hati untuk tidak bersaing dan menghimpit sektor swasta, tambahnya.
Untuk melindungi kepentingan awam, Dr Yaakub juga menyokong penyaringan mandatori semua usaha sama GLC oleh Pejabat Peguam Besar Negeri dan Kementerian Kewangan sebelum kelulusan Kabinet.
Ketelusan dan Keyakinan Awam
Walaupun menguruskan aset awam yang besar, GLC-GLC Sabah pada masa ini tidak diwajibkan untuk membentangkan laporan kewangan dan prestasi yang kerap di Dewan Undangan Negeri. Walaupun terdapat jawatankuasa pemantauan di Kementerian Kewangan, Datuk Dr Yaakub percaya ketelusan boleh diperkukuhkan lagi melalui papan pemuka prestasi GLC dalam talian yang boleh diakses secara terbuka di bawah Pejabat Ketua Menteri atau Kementerian Kewangan.
Mengenai persoalan penyenaraian GLC-GLC di bursa saham, beliau berkata penyenaraian awam boleh meningkatkan tadbir urus, ketelusan, akses kepada modal dan keyakinan pelabur, tetapi mungkin tidak sesuai untuk entiti yang terlibat dalam aktiviti sensitif atau berkaitan keselamatan. Oleh itu, penyenaraian harus diteruskan secara selektif, terutamanya untuk pengumpulan dana, usaha sama atau penggabungan dan pengambilalihan.
