KOTA BELUD: 12 Januari 2026 — Kerja-kerja menaik taraf Jalan Taginambur–Kamburaon dimulakan secara rasmi hari ini selepas upacara pecah tanah disempurnakan, melibatkan peruntukan sebanyak RM21.476 juta bagi meningkatkan infrastruktur jalan raya di kawasan berkenaan.
Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, projek tersebut bakal memberi manfaat kepada ribuan penduduk yang menggunakan laluan itu setiap hari, termasuk ibu bapa yang menghantar anak ke SMK Narinang dan SK Taginambur.

“Projek ini melibatkan peruntukan sebanyak RM21.476 juta mencakupi pengaspalan jalan sejauh 2.55 kilometer dan pembinaan sebuah jambatan konkrit dua hala dengan tempoh pelaksanaan sehingga November 2027,” ujarnya.
Ewon menegaskan bahawa penaiktarafan jalan perhubungan utama di Kadamaian kekal sebagai keutamaan nombor satu beliau pada tahun ini, memandangkan kemudahan jalan raya merupakan faktor penting dalam merancakkan aktiviti ekonomi penduduk setempat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah serta semua pihak yang terlibat dalam memastikan projek tersebut dapat dilaksanakan.

Pada masa yang sama, beberapa projek pengaspalan lain turut giat dilaksanakan di kawasan Kadamaian, termasuk Jalan Sayap, Jalan Tengkurus dan Jalan Podos, selain pembinaan dua jambatan konkrit baharu masing-masing di Kaung dan Malangkap.
Sumber: Facebook – Ewon Benedick Official Media
