KOTA KINABALU: 8 Julai 2026 – Kira-kira 65 peratus masyarakat Dusunik di Sabah dianggarkan tidak lagi bertutur dalam bahasa ibunda, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap kelangsungan bahasa itu sekiranya usaha pemeliharaan tidak diperkasakan.
Susulan itu, Persatuan Pelestarian Bahasa Dusunik Sabah (KBDS) terus mempergiat pelbagai inisiatif bagi memelihara, mengembangkan dan melestarikan bahasa Dusunik, khususnya dalam kalangan generasi muda.
Presiden KBDS, Datuk Lawrence Gimbang berkata, persatuan itu ditubuhkan untuk menghimpunkan pendidik dan pakar bahasa Dusunik untuk memelihara bahasa berkenaan mengikut dialek masing-masing melalui pelbagai program ilmiah dan pembangunan bahasa.
Katanya, usaha itu dilaksanakan menerusi perbincangan ilmiah, bengkel bahasa, perundingan kepakaran dan penganjuran pertandingan di daerah yang mempunyai ramai penutur bahasa Dusunik seperti Ranau, Tambunan, Tuaran, Keningau dan Penampang.
“Tujuan kami adalah untuk menggalakkan masyarakat Dusunik berbangga dengan bangsa dan bahasa sendiri serta terus bertutur dalam bahasa ibunda agar ia tidak pupus, terutama orang muda yang sekarang kurang bertutur dalam bahasa Kadazan Dusun.
“Tujuan kami adalah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan memelihara bahasa ibunda, khususnya golongan muda,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, pada Selasa.
Lawrence berkata, kunjungan itu bertujuan memaklumkan kepada Tun Musa mengenai kewujudan KBDS yang telah didaftarkan dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) pada 28 Februari 2022.
Menurutnya, pihaknya turut memohon sokongan bagi penubuhan Yayasan Bahasa Dusunik yang akan berfungsi mengumpul dana untuk membiayai aktiviti pemeliharaan dan pembangunan bahasa tersebut.
Beliau berkata, antara program yang telah dilaksanakan ialah Lawatan Kolaborasi Bahasa Ibunda di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Kent pada 2022 dan Bengkel Membina Buku Kosa Kata serta Buku Cerita Dusunik pada 2023.
Selain itu, KBDS akan melaksanakan Program Komuniti Boros Dusunik di Tambunan tahun ini di samping meneruskan khidmat juru perunding bahasa Dusunik bagi membantu usaha pemeliharaan dan pembangunan bahasa berkenaan.
Lawrence berkata, KBDS kini mempunyai kira-kira 900 ahli dengan barisan kepimpinan seramai 17 anggota jawatankuasa yang terdiri daripada pendidik, doktor dan pelbagai profesional yang berkongsi matlamat memperkasakan bahasa Dusunik.
Hadir sama Setiausaha Agung KBDS, Petrus F. Guriting; Timbalan Bendahari KBDS, Datuk Webley Disim; dan Ahli Jawatankuasa Tertinggi merangkap Juru Perunding KBDS, Dr. Linah Bagu.

