50.71 saat bawa Renoddry bergelar olahragawan terbaik SUKOV

0bc5d769 b686 4cbe aa1b 98972055455f

Oleh: Nurul Fazliana Norman

KENINGAU: 20 Ogos 2026 – Catatan 50.71 saat dalam acara 400 meter membawa pelajar berkeperluan khas Kolej Vokasional (KV) Keningau, Renoddry Remey, dinobatkan sebagai Olahragawan Terbaik kategori balapan pada Sukan Kolej Vokasional (SUKOV) peringkat kebangsaan di Kota Bharu, Kelantan, yang berlangsung sejak 10 hingga 15 Ogos lalu.

Renoddry, pelajar Tingkatan Lima Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), turut meraih pingat perak dalam acara 200 meter dengan catatan 22.65 saat, hanya 0.02 saat di belakang pelari Terengganu yang mencatatkan 22.63 saat.

Kejayaan itu meneruskan prestasi cemerlang Renoddry di SUKOV Zon Sabah/Labuan pada Jun lalu apabila beliau meraih emas dalam acara 200 meter, 400 meter, 4 x 100 meter dan 4 x 400 meter.

Bagaimanapun, Renoddry dan pasukan 4 x 400 meter Sabah/Labuan tidak berpeluang beraksi di pentas akhir kebangsaan selepas penyertaan mereka dibatalkan susulan kesalahan teknikal pada pusingan separuh akhir.

4f928d0e 0b9b 4ca0 9f4a 03edb8b87088

Pada kejohanan kebangsaan itu, Renoddry menewaskan pelari dari Perak dan Johor dalam acara 400 meter untuk meraih emas, manakala pasukan Sabah/Labuan muncul juara keseluruhan acara olahraga selepas mengumpul mata tertinggi secara berkumpulan.

Pengarah KV Keningau, Lumang anak Lang, mengucapkan tahniah atas pencapaian Renoddry dan menyifatkannya sebagai bukti kejayaan program PPKI dalam menggilap bakat pelajar berkeperluan khas.

“Pencapaian ini membuktikan pelajar berkeperluan khas juga mampu bersaing dan mencapai kejayaan dalam bidang sukan,” katanya.

Renoddry kini bakal meneruskan cabaran pada Kejohanan Para SUKMA yang dijadualkan berlangsung pada September ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal