KUCHING: 13 Julai 2026 – Kim Teck Cheong Consolidated Berhad (KTC), sebuah syarikat tersenarai di Pasaran Utama Bursa Malaysia, telah menandatangani memorandum persefahaman (MOU) strategik dengan Sanjung Etika Sdn Bhd dan kerajaan negeri Sarawak untuk menubuhkan usaha sama kilang pembuatan roti di Sarawak.

Berdiri dari kiri – Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Datuk Wee Hong Seng; Timbalan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Fairuz Renddan; Timbalan Premier Sarawak III, Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Dato Amar Wee Dr Sim Kui Hian; Pengerusi Kim Teck Cheong Consolidated Berhad, Tan Sri Datuk Amar Mohd Zuki Bin Ali; dan, Pengarah Yayasan Sarawak, Datu Mohamad Junaidi Bin Mohidin.
Duduk dari kiri ke kanan, Pengarah Eksekutif KTC, Datuk Dexter Lau ; Pengarah Urusan KTC, Datuk Lau Kok Sing; Ahli Lembaga Pengarah Saujana Etika Sdn Bhd, Datu Haji Dr Hatta Bin Solhi; dan, Ahli Lembaga Pengarah Saujana Etika Sdn Bhd, Jolly Bin Marikan.
Upacara menandatangani MoU tersebut telah disaksikan oleh Timbalan Premier Sarawak III, Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian. Menurut perjanjian itu, KTC akan melabur sebanyak RM30 juta sebagai pemegang saham bersama dalam usaha sama tersebut.
Perjanjian yang dimeterai melalui anak syarikat KTC, Gardenia, akan mewujudkan Gardenia Bakeries (Sarawak) Sdn Bhd sebagai entiti usaha sama, menggabungkan kepakaran pembuatan Gardenia dengan inisiatif pembangunan modal insan dan komuniti Yayasan Sarawak.
Sebagai sebahagian daripada perancagan projek, KTC telah mengemukakan permohonan kepada kerajaan negeri untuk memperoleh sebidang tanah seluas 7.56 ekar di Taman Perindustrian Kota Samarahan untuk membolehkan pembinaan kilang dilaksanakan, yang mana disasarkan untuk mula beroperasi sepenuhnya pada tahun 2027.

Pengarah Eksekutif KTC, Datuk Dexter Lau, menyatakan bahawa projek ini bukan sekadar perjanjian perniagaan, tetapi merupakan satu lonjakan baharu kepada industri makanan, ekonomi, dan pembangunan sosial di Sarawak.
Kilang ini dijangka mewujudkan sehingga 500 peluang pekerjaan, dengan keutamaan diberikan kepada graduan dan tenaga mahir tempatan.
Beliau memaklumkan bahawa pada peringkat awal operasi, kilang akan menggaji kira-kira 100 pekerja tempatan, dan jumlah itu akan ditingkatkan secara berperingkat kepada 500 orang sejajar dengan peningkatan kapasiti pengeluaran.

“Sepuluh tahun lalu, KTC mula melabur di Sarawak dengan sifar pekerja. Hari ini, kami berbangga dapat menggajikan 400 rakyat Sarawak tempatan, yang mewakili 32.5% daripada keseluruhan kakitangan KTC di seluruh negara.
“Ini membuktikan kecekapan pentadbiran, sistem pendidikan, dan kebajikan Sarawak dalam melahirkan bakat bertaraf tinggi yang sangat kompetitif untuk pasaran swasta,” kata Dexter.
Jumlah pelaburan KTC di Sarawak kini mencecah RM300 juta, menjana pulangan tahunan RM400 juta, dengan aset operasi dan perdagangan bernilai RM140 juta.

Selain peluang pekerjaan, kerjasama ini turut memperkenalkan produk eksklusif baharu, iaitu ‘Edisi Sarawak’ untuk roti Gardenia, yang akan dibungkus dengan reka bentuk mencerminkan warisan dan budaya unik negeri ini. Antara produk yang dirancang adalah Kek Lapis Gardenia, yang hanya akan dijual secara eksklusif di Sarawak.
Syarikat juga komited untuk mendapatkan bekalan bahan mentah dari sumber tempatan di Sarawak sebanyak mungkin, untuk memastikan nilai ekonomi kekal di dalam negeri.
Jelasnya, kilang ini pada awalnya akan mengeluarkan kira-kira 6,000 buku roti setiap hari, dan kapasiti ini akan ditingkatkan kepada antara 10,000 hingga 20,000 buku roti sehari untuk memenuhi permintaan seluruh Sarawak.
KTC juga menyatakan sokongan terhadap visi ekonomi jangka panjang Premier Sarawak, terutamanya berikutan pengumuman penubuhan Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak (STATOS) di Pontianak, Indonesia. Syarikat itu merancang untuk menggunakan Sarawak sebagai hab operasi demi meneroka peluang pelaburan rentas sempadan.
Kedua-dua pihak dijangka memuktamadkan perjanjian usaha sama dan perjanjian pemegang saham dalam tempoh tiga bulan akan datang sebelum memulakan operasi.

Terlebih dahulu, mewakili Sanjung Etika Sdn. Bhd., Pengarah Yayasan Sarawak, Datu Mohamad Junaidi Mohidin berkata, setiap pelaburan yang dilakukan hari ini adalah juga pelaburan masa depan Sarawak.
“Kerjasama bersama Kim Teck Chong Consolidated Berhad ini merupakan manifestasi hasrat tersebut. Dengan menggabungkan kekuatan dan kepakaran masing-masing, kami bercita-cita untuk menubuhkan sebuah perusahaan pembuatan bakeri yang moden, berdaya saing dan berstandard halal,” katanya.

Junaidi berkata, di samping objektif komersialnya, kerjasama ini juga diharap dapat menjadi pemangkin pembangunan bakat melalui program latinan industri, pertukaran ilmu, dan peningkatan kemahiran.
“Ini bukan sahaja menyokong misi pendidikan Yayasan Sarawak, tetapi juga memperkukuh ekosistem industri Sarawak dan menyumbang kepada masa depan negeri yang lebih makmur, berdaya tahan, dan mampan,” ujarnya.

Sementara itu, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian dalam sidang media berkata, pelaburan ini merupakan bukti bahawa keyakinan pelabur terhadap potensi ekonomi jangka panjang Sarawak semakin kukuh.
“Pelabur memilih Sarawak bukan sahaja kerana kadar tarif elektrik yang kompetitif, tetapi juga kerana kualiti tenaga kerja dan persekitaran hidup yang kondusif,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa penubuhan kilang ini memenuhi keperluan strategik, bukan semata-mata mengejar keuntungan maksimum.

“Sebelum ini, ramai rakyat Sarawak membeli roti Gardenia di KLIA sebelum menaiki penerbangan pulang. Kini, dengan adanya kilang ini, lebih ramai rakyat tempatan dapat menikmati roti Gardenia tanpa perlu bergantung kepada bekalan dari luar,” ujar beliau.

