Oleh: Nurul.N
TAWAU: Seorang lelaki warga asing berusia lingkungan 20-an ditahan polis selepas dipercayai memiliki sebuah motosikal Yamaha 135LC yang dilaporkan hilang di kawasan Pejabat Jabatan Air Bahagian Tawau, Jalan Kuhara, semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Rosdi Mat Jusoh, berkata tangkapan dilakukan kira-kira jam 3.30 petang oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Tawau bersama Strike Team Balai Polis Tawau di sebuah rumah kebun di Jalan Kuhara.
Pemeriksaan mendapati motosikal berkenaan mempunyai nombor enjin dan nombor casis yang telah diganggu.
Polis turut merampas sebuah lengan ayun (swing arm) dan ekzos motosikal untuk siasatan lanjut.
Kehilangan motosikal Yamaha 135LC V2 itu disedari pemiliknya pada 2 November lalu kira-kira jam 10 pagi ketika berada di pejabat berkenaan untuk menjalankan tugas harian.
Motosikal yang diletakkan di garaj belakang pejabat itu dipercayai dicuri individu tidak dikenali, menyebabkan pemilik mengalami kerugian dianggarkan RM4,000.
Pemeriksaan lanjut mendapati suspek tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Orang ramai dinasihatkan memastikan kenderaan diletakkan di kawasan selamat dan mengambil langkah pencegahan untuk mengelakkan kejadian kecurian.
