KEDAH: 10 September 2026 — Seramai 140 pendatang asing tanpa izin (PATI) pelbagai warganegara dipindahkan dan dihantar pulang ke negara asal melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan Terminal 2 kelmarin.
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Kedah dalam kenyataan, kesemua mereka sebelum ini ditahan di Depot Imigresen Belantik, Sik, Kedah.
Mereka terdiri dari 117 lelaki, 21 wanita dan dua kanak-kanak lelaki yang merupakan warganegara Myanmar, Bangladesh, India, Pakistan, Indonesia, China, Vietnam, Kemboja dan Kenya.
Kesemua mereka melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, dan telah selesai menjalani hukuman sebelum proses pemindahan dilaksanakan.
Mereka turut dikenakan tindakan senarai hitam dalam sistem JIM untuk menghalang cubaan memasuki semula Malaysia pada masa akan datang.
Kos tiket penerbangan untuk proses penghantaran pulang itu ditanggung oleh tahanan, ahli keluarga dan kedutaan negara masing-masing.
Menurut JIM Negeri Kedah, program pemindahan itu merupakan sebahagian daripada tindakan penguatkuasaan berterusan untuk membanteras kehadiran dan aktiviti PATI di negara ini.
JIM Negeri Kedah menegaskan tindakan penguatkuasaan, pengesanan, penahanan, pendakwaan dan penghantaran pulang PATI akan terus dipergiat demi memastikan keselamatan, ketenteraman awam serta kedaulatan negara terus terpelihara.
Sumber: Jabatan Imigresen Negeri Kedah

