12 kontena makanan sejuk beku diragui halal bernilai RM3.42 juta di Pelabuhan Sepanggar

bb1438fa a744 43b0 875a d76d9756340f.JPG

KOTA KINABALU: 19 Julai 2026 — Pihak berkuasa merampas 12 kontena makanan sejuk beku bernilai RM3.42 juta dalam satu operasi bersepadu di Pelabuhan Sepanggar, dengan kesemua kontena dipercayai diikrarkan secara palsu bagi mengelak pemeriksaan.

Kontena berkenaan, yang ditahan pada 16 Julai lalu menerusi Ops Ribat Sepanggar 1/2026, mengandungi 348 tan makanan sejuk beku—sebahagian besarnya ayam—yang status halalnya kini dipersoalkan pihak berkuasa.

646b7010 30f4 49e7 84d4 5e99a8fbc403.jpg

Jamawi (tiga dari kanan) ketika mendengar taklimat ringkas.

Pemeriksaan mendapati kesemua kontena jenis reefer itu diikrarkan secara tidak selaras dengan manifes K4 yang mencatatkan dagangan sebagai “vegetable” atau “other food stuff”, sedangkan kandungan sebenar terdiri daripada ayam sejuk beku dan daging babi sejuk beku.

Daripada 12 kontena itu, 11 mengandungi ayam manakala satu lagi dipercayai membawa daging babi. Sebuah kontena masih belum dapat diperiksa sepenuhnya dan pihak kastam sedang berusaha mendapatkan kebenaran daripada Jabatan Laut serta pihak pelabuhan untuk mengeluarkan dan melupuskannya.

Siasatan mendapati label pada kotak pembungkusan mengelirukan—ayam sejuk beku disyaki diimport dari China tetapi dilabelkan sebagai berasal dari Thailand, dengan logo halal turut dipaparkan pada kotak, menimbulkan keraguan terhadap status sebenar produk.

9ddbadba 0198 43d7 9876 25731b1a841a.jpg

Jamawi (tengah), Ruslan (kanan) dan Jumain (kiri) ketika mendengar taklimat ringkas.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar, berkata sekiranya kontena ini terlepas ke pasaran terbuka, ia boleh mengganggu keyakinan masyarakat, khususnya umat Islam, terhadap bekalan makanan halal di Sabah.

“Jika terlepas, ia boleh mengganggu keyakinan masyarakat, khususnya umat Islam, terhadap bekalan makanan halal yang berada di pasaran,” katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi rampasan.

641b774e 4793 4c1c aec5 8a94e98c5d5e.jpg

Jamawi (lima dari kanan) bersama semua yang terlibat sama dalam tinjauan itu.

Beliau memuji usaha Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan pegawai Jabatan Perkhidmatan Veterinar yang bertugas di pelabuhan kerana berjaya mengesan dan menghalang kontena-kontena itu daripada keluar ke pasaran.

Menurut Jamawi, maklumat yang diterima menunjukkan kira-kira 30 kontena dengan modus operandi serupa telah dirampas sejak awal tahun ini.

“Hasil siasatan Jabatan Perkhidmatan Veterinar mendapati label yang digunakan pada kotak-kotak produk mengelirukan dari segi nama syarikat dan alamat,” katanya.

Beliau menyeru pihak yang terlibat dalam kegiatan sedemikian supaya menghentikannya dan mematuhi prosedur import yang sah.

“Jabatan Perkhidmatan Veterinar sentiasa menyediakan ruang dan peluang kepada pengimport yang membawa masuk produk yang telah disahkan, dipantau dan mempunyai pensijilan halal yang diiktiraf,” katanya.

Setiap kontena mengandungi kira-kira 29 tan produk dengan nilai antara RM300,000 hingga RM350,000.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 128, Seksyen 133(1) dan Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, dan telah diserahkan kepada JKDM untuk tindakan lanjut.

Jamawi berkata beliau akan mengemukakan laporan berhubung rampasan itu kepada Kabinet Negeri dan memohon penubuhan jawatankuasa khas melibatkan MAFFI, AKPS, JKDM, Polis Diraja Malaysia dan agensi penguatkuasaan berkaitan untuk memperkukuh tindakan penguatkuasaan secara bersepadu.

“Kita tidak akan mengalah dalam usaha membanteras penyeludupan ayam atau apa juga makanan yang tidak diisytiharkan dengan betul dan boleh menjejaskan keselamatan dan keyakinan pengguna terhadap bekalan makanan halal di Sabah,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal