Oleh: Nurul Fazliana Norman
KUALA LUMPUR: 10 Ogos 2026 – Seramai 11 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam operasi khas di Setapak dan Jalan Kuching, Kuala Lumpur, semalam, susulan penularan video sebuah Toyota Hilux yang menggunakan logo JIM dan lampu mata arah.
Operasi pada jam 4.30 petang itu membawa kepada penahanan seorang lelaki warga Pakistan yang dipercayai terlibat dalam video berkenaan dan pemilik kenderaan, yang juga warga Pakistan.
Selain itu, lapan pekerja sebuah kedai cuci kenderaan terdiri daripada empat warga Bangladesh, tiga warga Pakistan dan seorang warga India turut ditahan.
Seorang wanita warga Indonesia yang didapati tinggal lebih masa di negara ini turut ditahan dalam operasi berkenaan.
JIM berkata, siasatan awal mendapati video itu dirakam pada April 2025 sebelum dimuat naik ke status WhatsApp pada 7 Ogos lalu.
Pemilik kenderaan mengaku memasang logo JIM dan lampu mata arah untuk kegunaan peribadi tanpa tujuan rasmi.
Kesemua yang ditahan bersama kenderaan berkenaan dibawa ke Pejabat Imigresen untuk siasatan dan tindakan lanjut.
JIM menegaskan tidak akan berkompromi terhadap penyalahgunaan logo atau identiti Jabatan yang boleh mengelirukan orang ramai dan menjejaskan imej dan integriti agensi.
Sumber: Jabatan Imigresen Malaysia

