Oleh: Nurul Fazliana Norman
KOTA KINABALU: 10 Oktober 2026 – Sebanyak 1,099 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) diwujudkan di seluruh negara untuk meningkatkan tahap celik digital dan memperkasa ekonomi rakyat menerusi pelbagai program keusahawanan dan kemahiran digital.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, NADI berperanan melahirkan masyarakat dengan literasi digital tinggi dan membuka peluang kepada rakyat menceburi bidang keusahawanan.
Pada majlis perasmian NADI Inanam Sentral khamis lalu, beliau berkata pusat itu melengkapkan keseluruhan 132 NADI di Sabah, termasuk 14 NADI baharu.
Menurutnya, jumlah usahawan yang dipupuk, dididik dan dibangunkan menerusi Program Keusahawanan NADI kini mencecah 12,000 orang berbanding 545 orang pada 2022.

Fahmi berkata, manfaat NADI diperluas menerusi program NADI On Wheels ke sekolah dan kampung berdekatan untuk memastikan masyarakat mendapat akses kepada pelbagai inisiatif kerajaan.
NADI turut melaksanakan program ‘1 NADI 1 Prompt Engineer’ untuk meningkatkan kemahiran masyarakat dalam penggunaan kecerdasan buatan (AI).
Katanya, seramai 1,247 peserta, termasuk 509 dari Sabah, menyertai kumpulan pertama program berkenaan. Sebanyak 50 peratus melengkapkan ketiga-tiga tahap kemahiran.
Hasrat kementerian dan MCMC adalah melahirkan 1,099 Prompt Engineer, seorang di setiap NADI, menjelang hujung tahun ini.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Ts. Mustapha Sakmud; Ketua Pegawai Hal Ehwal MCMC, Bukhari Yahya; Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat Maxis Berhad, Azizul Abdul Rahman; dan Pengerusi Panel Penasihat NADI Sepanggar, Nurfitrie Suimin.
Sumber: JAPEN

