Oleh: Zaidul Khair bin Jungkim
PUTATAN: 18 Julai 2025 – Debut dalam arena tinju profesional menjadi detik bermakna buat Dan Derron bin Joimi, di mana petinju berusia 25 tahun dari Kampung Sunsuron, Tambunan itu berjaya mencatat kemenangan ke atas Ahmad Shamel bin Salahudin atau lebih dikenali sebagai “Abang Besi” dalam pertarungan enam pusingan di Dewan Sri Putatan, semalam.
Kemenangan tersebut menjadi langkah pertama Dan Derron dalam membina nama di pentas profesional selepas sebelum ini lebih banyak beraksi dalam kategori amatur.
Bagi Dan Derron, kejayaan itu memberikan kepuasan besar selepas segala usaha dan latihan yang dilakukan sebelum pertarungan akhirnya membuahkan hasil.
“Saya sangat bangga dengan diri sendiri. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada jurulatih, rakan-rakan dan keluarga yang sentiasa menyokong saya. Tanpa sokongan mereka, saya tidak akan menang hari ini,” katanya.
Mengulas mengenai penganjuran kejohanan itu, Dan Derron menyifatkan pengurusan pertandingan berjalan dengan baik, selain memuji suasana lokasi yang selesa untuk para petinju beraksi.

Katanya, keadaan gelanggang yang baik membantunya memberikan persembahan terbaik tanpa berdepan masalah ketika pertarungan berlangsung.
“Saya rasa perlawanan hari ini sangat baik. Pengurusan bagus, masa juga sesuai dan tempat ini selesa. Saya tidak rasa terlalu panas ketika bertarung.
“Jika mereka boleh adakan lagi kejohanan seperti ini pada tahun hadapan, saya harap akan ada lebih banyak pertarungan seperti ini,” katanya.
Walaupun baru membuat penampilan pertama dalam arena profesional, Dan Derron mengakui pertarungan menentang “Abang Besi” tidak terlalu sukar seperti yang dijangkakan.
Beliau berkata pengalaman beraksi dalam kategori amatur banyak membantu dirinya menyesuaikan diri dengan tempo pertarungan.
“Sebelum ini saya bertanding dalam kategori amatur selama tiga pusingan. Dalam tiga minit itu, saya perlu menyerang dengan pantas.
“Tetapi dalam pertarungan ini, saya lebih banyak mengawal rentak, melepaskan pukulan satu demi satu dan mengumpul tenaga. Saya mampu menghabiskan enam pusingan,” katanya.
Menurutnya, pada asalnya debut profesional itu dijangka berlangsung selama empat pusingan, namun pertarungan tersebut dipanjangkan kepada enam pusingan atas permintaan lawannya.
Berkongsi strategi ketika berdepan Ahmad Shamel, Dan Derron berkata fokus utamanya adalah mengawal jarak, mengumpul mata dan mencari peluang menghasilkan pukulan tepat.
“Pada pusingan pertama, saya mahu kumpul jarak dan kumpul mata. Jika saya berjaya menghasilkan pukulan yang tepat, saya mempunyai peluang untuk mendapatkan mata.”
“Pada pusingan kedua, saya lebih yakin dengan strategi yang digunakan dan terus mengawal permainan,” katanya.
Namun, Dan Derron mengakui aspek stamina menjadi cabaran terbesar ketika berdepan “Abang Besi” yang mempunyai ketahanan fizikal tinggi.
Menurutnya, dia perlu bijak menguruskan tenaga untuk memastikan mampu bertahan sehingga tamat pertarungan.

“Cabaran paling besar adalah stamina kerana lawan saya mempunyai stamina yang panjang. Stamina saya sedikit kurang berbanding dia.”
“Tetapi syukur dia tidak banyak menyerang, jadi saya dapat pulihkan tenaga dan teruskan pertarungan,” katanya.
Bagi Dan Derron, keyakinan untuk memenangi pertarungan mula hadir sejak pusingan pertama ketika melihat corak permainan lawannya.
“Saya mula yakin sejak pusingan pertama kerana dia tidak banyak menyerang. Pusingan kedua juga sama.”
“Pada pusingan keempat, saya berjaya menghasilkan banyak pukulan bersih dan ketika itu saya semakin yakin akan menang,” katanya.
Dan Derron berkata beliau menjalani latihan selama dua bulan sebagai persediaan menghadapi pertarungan profesional pertamanya.
Menurutnya, latihan tersebut bermula selepas penyertaannya dalam kejohanan Male Cup sebelum meneruskan fokus sepenuhnya untuk pertarungan kali ini.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada jurulatihnya, Raymond Pitagatulik, yang membimbingnya sejak berusia 20 tahun.
“Selepas dilatih oleh jurulatih Raymond, saya mampu bertarung seperti ini. Saya juga ingin berterima kasih kepada ibu bapa, adik-beradik dan rakan-rakan yang sentiasa menyokong saya,” katanya.
Beliau turut menyebut penghargaan kepada rakannya dari Indonesia, Rifdanur Nashwa, yang menurutnya sentiasa memberikan sokongan sejak awal perjalanan kariernya.
Mengulas mengenai Ahmad Shamel, Dan Derron menyifatkan lawannya sebagai petinju yang baik dan menghormati cabaran yang diberikan sepanjang pertarungan.

Katanya, peluang beraksi menentang “Abang Besi” merupakan satu pengalaman berharga dalam perjalanan profesionalnya.
“Saya hormat dia. Satu penghormatan dapat berlawan dengan dia. Saya harap dapat bertemu lagi dan saya doakan yang terbaik untuk karier dia,” katanya.
Selepas kemenangan sulung itu, Dan Derron mahu terus aktif dalam arena profesional sekiranya diberikan peluang.
Beliau menyasarkan untuk menyertai satu lagi pertarungan pada September ini menerusi kejohanan Prestige di Ranau, sebelum meneruskan langkah dalam karier tinju profesional.
Bagi anak jati Tambunan itu, kemenangan ke atas “Abang Besi” bukan penamat, sebaliknya permulaan kepada perjalanan lebih panjang untuk mencipta nama dalam dunia tinju.

