KOTA KINABALU: 7 Ogos 2025 – Seramai 10 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina ditahan dalam Operasi Todak yang dilaksanakan di sekitar SAFMA, Pasar Besar Kota Kinabalu dan perairan berhampiran.
Operasi bersepadu itu diselaraskan oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Laut Malaysia Wilayah Sabah dan Sabah Fish Marketing Sdn Bhd (SAFMA).
Di bahagian darat, JIM memeriksa 521 Orang Yang Diperiksa (OYDP) sebelum menahan kesemua 10 PATI yang kemudiannya dihantar ke Depot Imigresen Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut.
DBKK turut mengkompaun dua penjaja kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen sah di kawasan SAFMA dan Pasar Besar Kota Kinabalu, selain menyita sebuah motosikal dan beberapa peralatan perniagaan.
Di kawasan perairan pula, Jabatan Laut Malaysia Wilayah Sabah dengan kerjasama APMM memeriksa empat bot, dengan lesen asal sebuah bot ditahan berikutan dokumen pengenalan pelaut warga asing yang telah tamat tempoh.
APMM turut menggerakkan dua aset maritim membabitkan 14 anggota untuk memeriksa sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT), dan hasil pemeriksaan, tujuh kru diperiksa sebelum diserahkan kepada JIM bagi tindakan lanjut.
Menurut DBKK, operasi penguatkuasaan bersepadu akan terus dipergiat secara berkala untuk memastikan Kota Kinabalu kekal sebagai bandar raya yang bersih, selamat, teratur dan berdaya huni.

