KLANG: 7 Ogos 2026 — Seramai 22 warga Indonesia dipenjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret Klang hari ini selepas mengaku bersalah menggunakan kad pengenalan palsu.
Kesemua tertuduh berusia antara 28 hingga 51 tahun terdiri daripada 21 wanita dan seorang lelaki.
Mereka didakwa mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007).
Kesemua tertuduh ditahan pada 6 Ogos lalu di sebuah kilang di Port Klang menerusi Ops Getah.
Operasi itu dijalankan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bersama Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Tenaga Kerja Negeri Selangor.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dua bulan bermula dari tarikh tangkapan selepas kesemua tertuduh mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan.
Prosiding di Mahkamah Majistret MM5 didengar di hadapan Majistret Nor Azilah Mat.
Prosiding di Mahkamah Majistret MM4 pula didengar di hadapan Majistret Khartiyayini Ambualagan.
Pendakwaan dikendalikan Md Shahedan Md Taib, Zulkarnain Ahmad dan Mohd Ramzi Adnan.
Timbalan Pendakwa Raya JPN, Sufi Aiman Azmi menyediakan minit pertuduhan.
JPN berkata tindakan penguatkuasaan akan terus dipergiat bagi membanteras penyalahgunaan dokumen pengenalan diri dan memastikan integriti sistem pendaftaran negara terus terpelihara.

