Gambar ilustrasi
Oleh: Nurul Fazliana Norman
KOTA KINABALU: 21 Ogos 2026 – Sabah Electricity memberi amaran kepada pengguna supaya berwaspada terhadap individu yang menyamar sebagai anggota kerjanya, dipercayai mendapatkan maklumat peribadi pengguna di rumah.
Menurut Sabah Electricity, pihaknya tidak pernah mengarahkan anggota kerja berkunjung ke kediaman pengguna untuk mendapatkan maklumat atau butiran peribadi tanpa urusan rasmi yang dimaklumkan terlebih dahulu.
Syarikat itu menjelaskan, pemeriksaan dan penyelenggaraan oleh anggota kerja rasmi hanya melibatkan meter elektrik dan komponen berkaitan yang berada di luar rumah.
Anggota kerja juga tidak diarahkan memasuki rumah atau premis pengguna untuk memeriksa pendawaian elektrik dalaman tanpa urusan rasmi yang telah dimaklumkan dan disahkan.
Pengguna dinasihatkan memastikan identiti anggota kerja sebelum membenarkan sebarang urusan dijalankan, termasuk memeriksa pakaian seragam berlogo Sabah Electricity dan kad pengenalan pekerja yang sah.
Sabah Electricity turut mengingatkan bahawa anggota kerjanya tidak dibenarkan membuat kutipan bayaran tunai atau deposit secara langsung di rumah pengguna.
Sebarang urusan berkaitan akaun dan perkhidmatan elektrik hendaklah dibuat melalui saluran rasmi syarikat, termasuk talian 15444, 088-515000 atau aplikasi mySE+.
Sumber: Sabah Electricity

