KUALA LUMPUR: 26 April 2026 — Warisan budaya Sabah mencuri tumpuan di pentas Selangor Fashion Week: ASEAN Edition menerusi segmen khas Borneo Stage yang menampilkan keindahan busana tradisional dan identiti etnik negeri Sabah kepada khalayak tempatan dan antarabangsa.
Acara tersebut menyaksikan enam wakil Unduk Ngadau Kaamatan (UNK) dari Semenanjung Malaysia memperagakan pelbagai busana tradisi Sabah yang kaya dengan nilai estetika, simbolisme dan kehalusan seni kraf tempatan.
Setiap rekaan mencerminkan kepelbagaian warisan etnik dari pelbagai daerah di Sabah, sekali gus memperlihatkan keunikan budaya yang masih terpelihara.

Raysendra Protasius (UNK2025 KDCA Penang), Allvera Azerra Jaunik (UNK2024 KDCA Putrajaya), Emelka Ryner (UNK2025 KDCA Putrajaya), Junzuenn Basalan (MFMPA Sabah Region)
Dr Jason Hee Jee Pin (President MFMPA & Miss Malaysia Kebaya, Cultural Pageant), Ivy Lojitan (Chairperson KDCA Women’s Council Malaya), Brolyn Bilid Benjamin (UNK2025 KDCA Melaka), Mertinih Joklis (Ratu Elegen Malaysia 2018 and Former Miss Malaysia Kebaya Ambassador), Eviette Larissa Saulim (5th Runner-Up UNK2025 KDCA Putrajaya & Model Tolumis Busana Etnik KDCA Women’s Council Malaya 2026)
Antara yang terlibat ialah Raysendra Protasius (UNK2025 KDCA Pulau Pinang), Allvera Azerra Jaunik (UNK2024 KDCA Putrajaya), Emelka Ryner (UNK2025 KDCA Putrajaya), Brolyn Bilid Benjamin (UNK2025 KDCA Melaka), Mertinih Joklis (Ratu Elegen Malaysia 2018) serta Eviette Larissa Saulim (Naib Johan Kelima UNK2025 KDCA Putrajaya).
Buat julung kalinya dipentaskan di platform fesyen bertaraf ASEAN, Borneo Stage bukan sekadar persembahan busana, sebaliknya menjadi medium diplomasi budaya yang memperkukuh kedudukan Sabah dalam naratif serantau berasaskan keaslian dan kepelbagaian warisan.
Melalui gabungan elemen tradisional dan persembahan kontemporari, segmen ini berjaya menampilkan Sabah sebagai destinasi budaya hidup yang berpotensi diperkasa menerusi industri kreatif seperti fesyen, pelancongan dan pertukaran budaya.
Penganjuran ini direalisasikan hasil kerjasama Malaysia Fashion, Modeling & Pageant Association, iLumina dan Discover Sabah Digital yang komited memperluaskan platform promosi warisan Sabah di peringkat antarabangsa.
Pengerusi Majlis Wanita KDCA merangkap Penasihat Unduk Ngadau Kaamatan Peringkat Negeri, Joanna Kitingan, menyifatkan penyertaan tersebut sebagai langkah penting dalam memastikan warisan budaya Sabah terus dipelihara dan dihargai di peringkat global.
Penyertaan Sabah di Selangor Fashion Week: ASEAN Edition membuktikan bahawa warisan tradisi bukan sahaja mampu dikekalkan, malah boleh diketengahkan secara relevan dalam konteks moden sebagai simbol kebanggaan serantau.
