Oleh: Nurul Fazliana Norman
SANDAKAN: 2 Nov 2026 – Seramai 1,069 tahanan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warganegara Filipina dihantar pulang ke negara asal menerusi dua program pemindahan yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah pada 27 dan 29 Oktober lalu.
Dalam jumlah itu, seramai 800 tahanan dipindahkan pada 29 Oktober melalui Pelabuhan Sandakan ke Pelabuhan Zamboanga City, Filipina menggunakan kapal MV Antonia 1.
Pemindahan itu melibatkan 590 lelaki dewasa, 88 perempuan dewasa, 64 kanak-kanak lelaki dan 58 kanak-kanak perempuan berusia antara 16 hari hingga 83 tahun.
Tahanan berkenaan berasal dari Depot Imigresen Tawau, Sandakan dan Papar, manakala kanak-kanak yang terlibat diiringi ibu bapa atau pengiring masing-masing.

Sementara itu, 269 tahanan warga Filipina dihantar pulang pada 27 Oktober melalui Pelabuhan ICQS Lahad Datu ke Pelabuhan Bongao, Filipina menggunakan feri komersial.
Mereka terdiri dari 168 lelaki dewasa, 66 perempuan dewasa, 18 kanak-kanak lelaki dan 17 kanak-kanak perempuan dari Depot Imigresen Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau.
Dalam program sama pada 29 Oktober, Depot Imigresen Sandakan turut memindahkan empat tahanan lelaki dewasa, masing-masing seorang warga Nepal dan India termasuk dua warga Pakistan, melalui Lapangan Terbang Sandakan ke KLIA2 sebelum dihantar ke negara asal.
Menurut JIM Sabah, sehingga 29 Oktober 2026, seramai 7,490 tahanan PATI pelbagai warganegara telah dipindahkan ke negara asal.
Jumlah itu merangkumi 5,357 warga Filipina, 1,789 warga Indonesia, 139 warga Pakistan, 141 warga China, 29 warga Vietnam dan 35 dari negara lain.

Jabatan itu memaklumkan semua tahanan berkenaan telah selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang dan memiliki dokumen perjalanan sah untuk mengikuti proses pemindahan.
Majikan di Sabah disaran menyertai program pendataan digital warga asing yang dilaksanakan Kerajaan Negeri untuk merekod dan mengurus keberadaan pekerja asing, khususnya dalam sektor perladangan.
JIM Sabah turut memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap majikan yang melindungi pekerja asing tanpa permit atau dokumen sah.
Kesalahan itu boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63, termasuk denda sehingga RM50,000, hukuman penjara dan sebatan, tertakluk kepada peruntukan undang-undang.
Sumber: JIM Negeri Sabah
