TENOM: 5 Oktober 2025 – Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) mengesahkan kesediaannya untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah.
Datuk Ewon Benedick, berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira sejarah panjang serta kekuatan akar umbi parti di kawasan berkenaan.
Beliau yakin UPKO mampu meraih sokongan rakyat Melalap berdasarkan rekod khidmat dan hubungan rapat parti dengan masyarakat setempat sejak penubuhan Malaysia.
Menurutnya, calon UPKO di Melalap akan membawa aspirasi gabungan Kerajaan Perpaduan dan menjadi wakil rakyat yang berupaya memperjuangkan agenda pembangunan di kawasan itu.
Ewon berkata, wakil rakyat dari parti kerajaan mempunyai kelebihan dalam menguruskan projek serta dasar pembangunan dengan lebih berkesan demi manfaat rakyat.
Beliau turut menegaskan kepentingan memilih pemimpin tempatan yang memahami cabaran dan keperluan masyarakat setempat.
Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi menjelaskan bahawa pemimpin Sabah dalam kerajaan Persekutuan bukan “agen Malaya” seperti didakwa sesetengah pihak, sebaliknya berperanan sebagai “agen Sabah” yang memperjuangkan kepentingan negeri.
Beliau turut menyenaraikan pelbagai inisiatif kementeriannya yang memberi tumpuan kepada Sabah dan Sarawak, termasuk projek Tamu Desa, Skim Pembiayaan Usahawan Tamu (SPUT) serta geran khas untuk usahawan Bumiputera di kedua-dua negeri.
Dalam masa sama, beliau mencabar parti-parti tempatan lain untuk menilai semula pencapaian mereka terhadap pembangunan Sabah ketika berada dalam kerajaan Persekutuan.
Turut hadir pada konvensyen itu ialah Ketua Bahagian UPKO Tenom, Junik Bajit, serta barisan kepimpinan parti peringkat bahagian.
Sumber: Sayang Sabah

