KOTA KINABALU: 19 Jun — Parti Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) diterima secara rasmi sebagai parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Presidennya Datuk Ewon Benedick mengumumkan hari ini.
Beliau merakamkan penghargaan kepada Pengerusi GRS yang juga Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dan Majlis Tertinggi GRS atas kelulusan permohonan keanggotaan parti itu yang difailkan pada 29 Mei lalu.
Menurut Ewon, penyertaan UPKO dalam GRS mengembalikan parti itu ke dalam gabungan parti-parti tempatan Sabah, sekali gus bertepatan dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang memperuntukkan peranan kepada Sabah, Sarawak dan Tanah Melayu dalam pembentukan Malaysia.
Beliau menegaskan bahawa UPKO komited menyumbang kepada usaha memperkukuh GRS dalam memimpin dan membangunkan Sabah.
Pada masa sama, beliau mengajak seluruh rakyat Sabah supaya bersama-sama menyokong gabungan parti tempatan itu demi membina masa depan wilayah berkenaan.
