MAGDEBURG, JERMAN: 22 September 2026 — UiTM Chamber Choir (UCC) dari Fakulti Muzik, Universiti Teknologi MARA (UiTM) meraih empat pengiktirafan pada 3rd Magdeburg International Choir Festival yang berlangsung dari 16 hingga 20 September 2026 di Jerman.
UCC dinobatkan sebagai juara Kategori G2 – Youth Choir dan menerima Gold Diploma Level VIII dengan 27.79 mata, manakala Gold Diploma Level IX diraih dalam kategori Folklore dengan 28.67 mata.
Dalam kategori Equal Voice Choral Music pula, UiTM Women’s Choir yang terdiri dari anggota wanita dalam ensemble tersebut muncul juara dan menerima Gold Diploma Level VIII dengan 27.94 mata.
Kejayaan itu turut dilengkapi anugerah The Best & Outstanding Choir Performance in the Festival dari Choir Association of Saxony-Anhalt sebagai pengiktirafan terhadap persembahan keseluruhan UCC sepanjang festival.
Delegasi UiTM terdiri dari 25 pelajar yang dipimpin konduktor koir, Maryann Magdalena Linnis, dan diiringi Dekan Fakulti Muzik UiTM, Prof. Dr. Tazul Izan Tajuddin.
Pencapaian itu turut menandakan tahun ke-11 berturut-turut UCC menyertai dan mencatat kejayaan dalam pertandingan koir antarabangsa.
Sepanjang tempoh itu, penyertaan di pentas antarabangsa memberi pelajar peluang mengembangkan kemahiran muzikal, pengalaman persembahan dan profesionalisme, selain kesempatan untuk berinteraksi dengan kumpulan koir, konduktor dan pemuzik dari pelbagai latar budaya.
Kejayaan di Magdeburg sekali gus meneruskan rekod 11 tahun UCC dalam pertandingan koir antarabangsa, selain mengetengahkan kecemerlangan UiTM dan muzik koir Malaysia di pentas dunia.

