TAWAU: 16 Julai 2025 – Seorang wanita tempatan berusia 21 tahun diberkas polis selepas dipercayai terlibat dalam kes pemerasan berhubung iklan khidmat urut palsu yang tular di internet pada Februari lalu, membabitkan kerugian RM600.
Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh berkata, suspek ditahan oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau kira-kira jam 12.25 tengah hari di tepi jalan Kampung Titingan, susulan maklumat daripada laporan mangsa di IPD Gerik, Perak.
Hasil siasatan awal mendapati suspek terbabit dalam satu kes yang dilaporkan oleh seorang lelaki warga asing berusia 41 tahun, selepas berurusan dengan ‘penyedia khidmat urut’ melalui aplikasi Google dan WhatsApp. Bagaimanapun, wanita terbabit tidak muncul di lokasi seperti yang dijanjikan walaupun mangsa telah membuat bayaran pendahuluan sebanyak RM100.
Menurut beliau, mangsa kemudiannya menerima ugutan dari nombor tidak dikenali yang mendesak bayaran tambahan RM500 bagi “membatalkan” khidmat tersebut, dengan ancaman akan dihantar orang untuk mencarinya atau mencederakannya jika gagal berbuat demikian.
Bimbang keselamatannya, mangsa membuat pemindahan wang melalui mesin ATM ke akaun milik suspek. Namun selepas menerima desakan bayaran seterusnya, mangsa menyedari dirinya ditipu dan membuat laporan polis.
Tambah Champin, hasil siasatan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau namun disiasat lanjut termasuk kemungkinan penglibatan dengan sindiket penipuan siber.
Kes disiasat mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan.
Polis menasihatkan orang ramai agar berhati-hati terhadap sebarang iklan perkhidmatan tidak sah di internet dan tidak membuat sebarang bayaran kepada individu yang tidak dikenali.
Sebarang maklumat berkaitan penipuan boleh disalurkan kepada CCID Scam Response Center di talian 03-26101559 atau 03-26101599.
Sumber: Kenyataan Polis Daerah Tawau

