KOTA KINABALU: 25 Jun 2026 – Penganjur Apresiasi Filem Sabah (AFiS) 2026 memaklumkan bahawa Tayangan Khas Filem Sabah yang dijadualkan sempena penganjuran AFiS 2026 akan dipindahkan ke City Cineplex, City Mall, Luyang.
Pengerusi penganjur AFiS 2026, Chester Pang, berkata keputusan tersebut dibuat selepas pihak penganjur berdepan kesukaran mendapatkan pengesahan tempahan dari pihak Golden Screen Cinemas (GSC).
Menurut beliau, lima karya tempatan Sabah yang dijadualkan ditayangkan iaitu dokumentari The Sight of Borneo Kirin, Craze Below The Wind, Ninavau, Silence of The 177 dan filem MANTERA, pada asalnya dirancang untuk dipertontonkan di GSC Suria Sabah.

“Sejak dua minggu lalu, kami telah berusaha menghubungi pihak pengurusan GSC yang berpusat di Kuala Lumpur melalui saluran rasmi yang hanya menerusi emel. Namun, tidak responsif dan maklum balas hanya diterima pada saat akhir.
“Pihak GSC hanya menghubungi kami pada petang kelmarin dengan menawarkan penggunaan dewan panggung yang lebih besar pada kadar sewaan yang jauh lebih tinggi dan melebihi kemampuan kewangan persatuan kami sebagai sebuah badan bukan berasaskan keuntungan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau menambah bahawa pihak penganjur menghargai tawaran yang diberikan, namun kekangan bajet memerlukan mereka mencari alternatif yang lebih praktikal dan mesra komuniti.
“Adalah lebih mudah dan sesuai untuk kami berurusan dengan panggung tempatan Sabah yang lebih memahami keperluan dan kemampuan penganjur industri kreatif wilayah ini,” katanya.
Terdahulu, pihak penganjur memilih GSC Suria Sabah untuk memudahkan para penggiat industri filem berhimpun di satu lokasi sepanjang berlangsungnya AFiS 2026. Selain tayangan filem, program tersebut turut menampilkan pameran karya penerbit dan pengarah Sabah, siri sesi perkongsian bersama figura profesional industri kreatif, dan Malam Anugerah Golden Wind Award (GoWA) Kali Ke-4 yang akan berlangsung di Ballroom, Hotel 7 Suria Sabah.
Walaupun berlaku perubahan lokasi tayangan, pihak penganjur yakin sambutan penonton dan penggiat industri akan terus menggalakkan, dan berharap sokongan terhadap karya filem tempatan Sabah dapat diperkukuhkan melalui platform seperti AFiS 2026.

