oleh Allan Dumbong
AUCKLAND, New Zealand: 16 Ogos 2026 – Kumpulan seni dari Sabah mencipta kejutan di pentas antarabangsa Viva Eclectika 2026. Persembahan gabungan budaya Borneo dan Congo meraih Anugerah Persembahan “Highly Recommended” berserta hadiah wang tunai NZ$600 (kira-kira RM1,600).
Acara yang berlangsung di Victory Convention Centre, Freemans Bay, itu dianjurkan oleh New Zealand-Asian Association (NZAA) dengan sokongan Jabatan Ethnic Communities, Kementerian Dalam Negeri New Zealand yang dihadiri kira-kira 1,000 penonton.
Kumpulan Sabah menggabungkan lagu tradisional Bajau Daling-Daling dan tarian Magunatip dengan elemen kebudayaan Congo, Afrika, mendapat sambutan hangat.
Ramai golongan belia dan kanak-kanak turut naik ke pentas menari bersama, terutamanya ketika Magunatip dipersembahkan sekaligus mencipta suasana pertukaran budaya yang meriah dan menghiburkan.
Penari Sabah, Rose Angkaji, meluahkan kegembiraannya berkata, “Acara ini sangat menarik. Banyak kumpulan dari pelbagai negara mempersembahkan tarian budaya masing-masing. Saya gembira dapat mempersembahkan tarian tradisional kita di pentas antarabangsa ini.”
Presiden Sabah Auckland Association New Zealand Inc. (SAANZI), Devy Delicia, menegaskan kemenangan bukan matlamat utama.
“Kami gembira dapat menyertai acara ini. Menang atau tidak bukan matlamat utama. Fokus kami adalah memperkenalkan budaya pribumi Sabah supaya dapat dilihat masyarakat dunia. Terdapat komuniti dari pelbagai negara di New Zealand,” ujarnya.
Beliau turut berkata kumpulan Sabah amat menikmati pengalaman bekerjasama dengan penari Congo untuk pertama kali.
Bagi peserta Sabah, Viva Eclectika bukan sekadar pertandingan. Ia menjadi peluang memperkenalkan identiti pribumi, membina persahabatan antarabangsa, dan mengetengahkan budaya tradisional Sabah ke mata dunia.

