KENINGAU: 28 Oktober 2025 – Semangat kesukarelawanan dan kemahiran teknikal bergabung dalam projek komuniti “Steel Steady” yang digerakkan oleh pelajar Kolej Vokasional (KV) Keningau bagi membantu membaik pulih bangunan Sekolah Rendah Kampung Keningau.
Projek yang dijalankan pada 24 dan 25 Oktober lalu berkenaan menerima dana RM15,000 daripada Impact Malaysia, sebuah agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS), dan merupakan antara sepuluh projek terpilih di seluruh negara di bawah Akademi Rakan Muda.
Melalui inisiatif tersebut, para pelajar KV Keningau bersama hampir 100 sukarelawan belia daripada Kolej Geomatika, SM St. Francis Xavier, SM Gunsanad, dan SM Apin-Apin melaksanakan kerja-kerja pembaikan bagi menjadikan kemudahan sekolah lebih selamat, bersih serta kondusif untuk warga pendidik serta murid.
Antara kerja yang berjaya dilaksanakan termasuk pemasangan susur tangan dan pengadang pintu tangga, pemasangan jeriji longkang, penyelenggaraan kipas dan soket, penggantian papan lantai kayu, pemasangan jaring nyamuk, pembinaan papak lantai konkrit serta kerja mengecat dan pembersihan menyeluruh.
Menariknya, projek berkenaan dimulakan dengan bengkel asas kimpalan bagi memperkenalkan kemahiran ketukangan kepada para sukarelawan yang tidak mempunyai latar belakang teknikal. Para pelajar KV yang berpengalaman bertindak sebagai mentor dalam membimbing peserta lain, sekali gus menjadikan projek ini sebagai platform pembelajaran dua hala.

Pasukan pelaksana diketuai oleh Firdaus Sariman, guru teknologi kimpalan, dengan sokongan ketua program, Azme Budiman, dan penyelaras bengkel, Nabil Fikri. Kepimpinan pelajar pula diterajui oleh Nur Alia Ayuni Muhammad Husrin, Andrew Mark Dalubatan dan Dylan Ivander Lucas, bersama rakan dari pelbagai jurusan seperti teknologi kimpalan, elektrik, pembinaan, automotif, dan kosmetologi.
Pengarah KV Keningau, Lumang anak Lang, menzahirkan penghargaan terhadap komitmen pasukan tersebut yang menggunakan ilmu vokasional untuk manfaat masyarakat serta memperkukuh nilai kemanusiaan dalam kalangan belia.

