Semangat Antanom Inspirasi Perpaduan dan Kemajuan Sabah

Untitled 1000 x 700

TENOM: 9 Ogos – Antanom bukan sahaja wira masyarakat Murut, malah pejuang sejati yang berjuang demi hak seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang etnik. Rakyat, khususnya generasi muda, sebaiknya meneladani keberanian dan semangat juang pahlawan Murut tersohor, Datuk Seri Ontoros Endoi @ Antanom, sebagai sumber kekuatan memperkukuh perpaduan dan mempertahankan maruah negeri.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Bin Haji Noor berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam pada kemuncak Pesta Ilau Kalimaran ke-19 di Dataran Pekan Kemabong, hari ini.

Menurutnya lagi, perjuangan Antanom melangkaui sentimen suku kaum, dan bahawa ia berteraskan pembelaan terhadap maruah dan hak semua lapisan masyarakat. Oleh itu katanya, semangat itu perlu dijadikan milik bersama rakyat Sabah.

Beliau menegaskan, bahawa pengorbanan Antanom membuktikan betapa tingginya nilai tanah air dan harga diri rakyat yang wajar dipertahankan. Tenom yang kini berkembang sebagai daerah berbilang etnik, katanya, hanya akan terus makmur jika keharmonian dan kestabilan politik sentiasa diutamakan.

“Kekuatan perpaduan dalam kepelbagaian akan membawa keyakinan kepada Sabah di peringkat nasional, sekali gus memastikan kemakmuran ekonomi dapat dikongsi secara adil,” tambahnya.

Hajiji turut menekankan bahawa kestabilan politik adalah kunci kelancaran pelaksanaan dasar pembangunan di bawah Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ). Dalam masa sama, beliau mengajak generasi muda memelihara seni, adat, dan warisan budaya agar tidak hilang ditelan arus kemodenan.

Tegas beliau lagi, kemajuan teknologi tidak boleh dijadikan alasan untuk mengabaikan identiti budaya. “Nilai luhur warisan mesti diwarisi dari generasi ke generasi. Semangat ‘Rumah Kita, Kita Jaga’ perlu terus hidup,” ujarnya.

Beliau juga berkata, Kerajaan Negeri sentiasa menyokong penganjuran acara kebudayaan seperti Pesta Ilau Kalimaran kerana ia bukan sahaja memartabatkan warisan, malah mengukuhkan jati diri rakyat Sabah sebagai masyarakat berbilang kaum yang harmoni.

Yang jelas katanya, pesta itu menjadi wadah menyemai semangat kebersamaan dan saling menghormati antara pelbagai etnik, yang seterusnya mengukuhkan asas kestabilan dan kemajuan negeri.

Sumber: Sabah News

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal